Berita Utama

49 pengunjung, pemilik pusat hiburan dikompaun RM325,000

Setiap pengunjung dikompaun RM5,000 manakala pemilik RM25,000

GEORGE TOWN, 20 Ramadan 1442H, Ahad – Seramai 45 pengunjung pusat hiburan dan empat pemilik premis pusat itu dikenakan kompaun keseluruhan RM325,000 selepas ditahan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dalam serbuan berasingan di George Town dan Bukit Mertajam, dekat sini awal pagi tadi.

Dalam operasi polis Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) dan Seberang Perai Tengah (SPT) secara berasingan itu, polis mendapati kesemua mereka sedang berhibur di pusat hiburan dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan ketika PKPB.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata dalam serbuan oleh D7 IPDTL di George Town, pihaknya menyerbu dua pusat hiburan di Lebuh Pantai pada 1 pagi serta seramai 26 pengunjung berumur 20 hingga 40-an yang berada di situ dikompaun RM5,000 setiap seorang.

“Dua pemilik pusat hiburan berumur 40-an yang membuka perniagaan secara tersembunyi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa itu dikenakan kompaun RM25,000 setiap seorang dengan kedua-dua premis diarah tutup serta-merta.

“Dalam serbuan pukul 3.30 pagi di sebuah lagi pusat hiburan di Jalan Dato Keramat mendapati premis hiburan tersebut beroperasi namun tiada pelanggan di dalamnya kerana dipercayai sempat melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis. Pemiliknya dikenakan kompaun RM25,000,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Soffian berkata dalam operasi dijalankan pihaknya, jumlah keseluruhan kompaun yang dikenakan ialah sebanyak RM205,000 dan ada dalam kalangan pengunjung yang memberi alasan mereka tidak mengetahui larangan berhibur di pusat hiburan dan tiada premis hiburan dibenarkan beroperasi.

Sementara itu, di Bukit Mertajam Ketua Polis Daerah SPT ACP Shafee Abd Samad berkata seramai 19 pengunjung dan seorang pemilik pusat hiburan dikompaun kerana berhibur di sebuah premis Jalan Icon City, di sini dalam serbuan pukul 3.30 pagi.

Katanya ketika serbuan itu, kesemua lelaki berumur 19 hingga 44 tahun sedang berhibur dan dalam keadaan mabuk kerana minum arak malah siasatan awal juga mendapati kesemua pengunjung berkenaan mengenali antara satu sama lain.

“Setiap pengunjung dikenakan kompaun RM5,000 manakala pemilik pusat hiburan tersebut pula RM25,000, keseluruhan kompaun dalam operasi awal pagi tadi ialah RM120,000. Premis (pusat hiburan) itu juga diarahkan tutup,” katanya.

Semua kompaun itu dikeluarkan menurut Peraturan 19(1) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button