Berita Utama

Rundingan UMNO-PAS: ‘Pergi sendiri tak dianggap wakil parti’

Boleh bincang isu 27 kerusi Parlimen elak pertembungan

BANGI, 11 Safar 1444H, Khamis – Rundingan antara UMNO dan PAS perlu dilakukan secara ‘terang’ dan mesti diputuskan parti selain dibuat secara rasmi.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rundingan yang didakwa sebelum ini – antara pemimpin dua parti – kemungkinan pertemuan tidak rasmi, namun tidak menjadi keputusan kepada UMNO.

“Tetapi mungkin perbincangan itu kita tak boleh nak sekat sesiapa (kerana) siapa pun boleh bertemu dengan rakan-rakan dalam kalangan PAS untuk berjumpa dan berbincang.

“Namun, rundingan hanya boleh menjadi sah dan menjadi dasar parti apabila diputuskan oleh parti.

“Parti mesti memutuskan siapa wakil parti yang sah untuk berunding, kalau pergi sendiri-sendiri itu tidak boleh dianggap sebagai mewakili parti,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia, hari ini.

Sebelum ini, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, rundingan antara UMNO dan PAS ketika ini masih berjalan melibatkan pimpinan kedua-dua parti.

Malah, UMNO bukan hanya diwakili oleh presiden parti itu seorang tetapi melibatkan sebuah organisasi.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, rundingan dengan PAS terhadap 27 kerusi Parlimen yang disifatkan kritikal bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah satu cadangan yang perlu diberi pertimbangan.

Katanya, ia bagi mengelak pertembungan di kerusi-kerusi disifatkan kritikal yang mungkin boleh memenangkan parti pembangkang sekiranya berlaku pertembungan.

“Mungkin Pakatan Harapan (PH) mendapat kelebihan apabila berlaku pertembungan antara Barisan Nasional (BN) dengan PAS sebagai contoh.

“Bagaimanapun, ini satu cadangan dan saya rasa boleh diberikan pertimbangan kalau kita dapat tahu berlakunya pertembungan dengan PH boleh memenangi kawasan itu, jadi kenapa kita mahu beri kemenangan percuma kepada mereka,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button