Berita Utama

COVID-19: Penggunaan katil kritikal-ICU di Lembah Klang capai 90 peratus

Pembedahan, prosedur elektif akan ditangguh untuk dahulu rawatan COVID-19

BANGI, 20 Ramadan 1442H, Ahad – Kadar penggunaan katil rawatan kritikal atau unit rawatan rapi (ICU) bagi pesakit COVID-19 di Lembah Klang sudah mencapai 90 peratus purata keseluruhan setakat pagi ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak enam hospital yang mempunyai katil rawatan kritikal atau ICU COVID-19 telah melebihi ambang amaran kadar penggunaan katil iaitu lebih 70 peratus, bahkan ada di antaranya menghampiri 100 peratus.

Ini membabitkan Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, katanya.

“Manakala, Pusat Perubatan Universiti Malaya pula melaporkan penggunaan katil rawatan kritikal atau ICU COVID-19 pada kadar 50 peratus.

“Hospital Sungai Buloh yang beroperasi sepenuhnya sebagai hospital COVID-19 akan meningkatkan kapasiti katil rawatan kritikal atau ICU secara berfasa bagi memenuhi keperluan yang meningkat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham memaklumkan, 63 pesakit di ICU – dengan lebih 25 pesakit kritikal dipantau di wad biasa dan Jabatan Kecemasan – dan lebih 20 kes dirujuk ke unit rawatan rapi setiap hari dalam tempoh seminggu ini di Hospital Sungai Buloh.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) telah membuat perolehan peralatan perubatan seperti ventilator sejak tahun 2020 bagi membolehkan Hospital Sungai Buloh meningkatkan kapasiti katil rawatan kritikal apabila terdapat keperluan mendesak.

“KKM juga akan terus bekerjasama dengan hospital-hospital swasta, pengajar atau universiti di sekitar Lembah Klang bagi meningkatkan kapasiti katil-katil kritikal.

“Ini termasuk penyumberluaran pesakit bukan COVID-19 bagi kes dan prosedur tertentu untuk dirawat di hospital swasta dnagn kos ditanggung oleh kerajaan pada caj rawatan yang telah dipersetujui,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, pembedahan dan prosedur elektif di hospital sekitar Lembah Klang akan dikurangkan atau ditangguhkan bagi membolehkan lebih banyak katil hospital dikhususkan untuk rawatan COVID-19.

Katanya, ia juga membolehkan anggota perubatan dimobilisasikan ke tempat-tempat yang lebih kritikal bagi rawatan pesakit COVID-19.

“Sekiranya trend peningkatan kes COVID-19 berterusan, maka kapasiti kesihatan akan berada pada tahap yang kritikal dan akan memberikan impak yang negatif kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara keseluruhannya.

“Justeru, masyarakat diseru untuk sama-sama membantu KKM dengan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dan mematuhi nasihat kesihatan yang sering ditekankan oleh KKM bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini.

“Tahap pematuhn 100 peratus oleh semua pihak adalah amat diperlukan bagi membantu negara pulih semula daripada kemelut ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button