Darurat tak mungkin tamat awal, perlu dalam tangani COVID-19 secara efektif
Selagi tak tekan rakyat, maka darurat masih selaras tujuan isytihar

Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 20 Ramadan 1442H, Ahad – Selagi pelaksanaan darurat bukan untuk menekan rakyat dan digunakan bagi mempertahankan kuasa politik, maka kuasanya masih selaras dengan tujuan pengisytiharaannya.
Apatah lagi, dalam keadaan negara masih berdepan lonjakan peningkatan kes jangkitan COVID-19 setiap hari, justeru tidak mungkin darurat boleh ditamatkan sekarang.
Penganalisis politik, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berpandangan bahawa darurat tidak akan ditamatkan lebih awal kerana kerajaan masih memerlukannya untuk menangani pandemik secara efektif.
“Darurat dijangkakan tamat 1 Ogos. Jadi, kalau ia diperlukan maka tidak mungkin akan tamat lebih awal.
“Kita lihat setakat ini negara masih lagi stabil dan tidak wujud keadaan panik atau suasana yang membimbangkan kerana darurat tersebut,” katanya kepada Ismaweb.net.
Maka, beliau berkata, jika darurat diteruskan sehingga 1 Ogos, sebarang keperluan penggunaan kuasa darurat dapat digunakan sepenuhnya.
“Dalam konteks tindakan-tindakan yang perlu dengan kuasa darurat tersebut hendaklah untuk tujuan menangani COVID-19 dan tidak lebih daripada itu,” katanya.
Dr Nik Ahmad Kamal berkata, dengan adanya darurat, kerajaan mempunyai kuasa khusus untuk mengambil tindakan yang lebih drastik.
“Kita lihat ordinan terbaru untuk meminda Akta 342 untuk menaikkan kompaun dan denda. Mungkin juga jika kes jangkitan meningkat mendadak, ada kuasa darurat yang perlu digunakan untuk tindakan segera oleh kerajaan.
“Jadi selagi ia diperlukan, saya tidak lihat darurat akan ditamatkan (lebih awal),” katanya.