Berita Utama

‘Jika perlu PKP ketat, dilaksana buat kali terakhir dengan berkesan’

Rakyat tak boleh abai SOP walaupun dah terima vaksin: Sultan Johor

BANGI, 20 Ramadan 1442H, Ahad – Sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ketat diperlukan untuk menyelamatkan nyawa, biarkan ia dilaksanakan buat kali terakhir tetapi berkesan dengan memastikan orang ramai memainkan peranan menjayakan peraturan yang dikuatkuasakan.

Demikian titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung peningkatan jumlah kes jangkitan COVID-19 yang berada di tahap kritikal ketika ini.

Titah baginda, peningkatan kembali kes jangkitan umpama menimbulkan rasa putus asa dan tidak kepedulian.

“Jumlah kes tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan dan beberapa negeri, termasuk Johor kini menjadi negeri berisiko tinggi.

“Rakyat tidak boleh mengabaikan SOP walaupun mereka telah menerima suntikan vaksin terhadap virus tersebut.

“Ingatlah, untuk menjaga diri dan satu sama lain, ini kerana sesetengah rakyat memandang ringan SOP dan bersikap seolah-olah wabak itu sudah berakhir,” titah Sultan Ibrahim dalam kenyataan, hari ini.

Baginda bertitah, sikap berbahaya itu hanya akan akan menambah lagi beban kemudahan penjagaan kesihatan di negara ini.

“Walaupun sistem penjagaan kesihatan negara diurus tadbir dengan baik, namun semuanya mempunyai batas.

“Jika beban yang terpaksa ditanggung menjadi keterlaluan, pasti akan membawa akibat yang tidak dapat dibayangkan,” titah baginda.

Justeru, baginda berharap agensi penguatkuasaan akan bertindak lebih tegas dan adil terhadap mereka yang melanggar SOP ditetapkan.

“Kita tidak boleh membiarkan keadaan menjadi tidak terkawal, seperti yang sedang berlaku di India sekarang.

“Saya juga berharap kerajaan negeri akan mengambil keputusan yang bijaksana dan bertindak demi kepentingan rakyat,” titah baginda.

Pada masa sama, Sultan Ibrahim turut menggesa rakyat Johor supaya segera mendaftar untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.

“Percayalah kepada pakar kesihatan yang sahih, bukan khabar angin. Sebagai Sultan Johor, saya amat mengambil berat akan kebajikan dan keselamatan bangsa Johor.

“Saya tidak mahu lagi mendengar kisah sedih keluarga yang kehilangan ahli mereka yang tersayang akibat wabak ini,” titah baginda.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button