Malaysia catat kes pertama varian COVID-19 dari India
Varian terbabit dikenal pasti selepas saringan di pintu masuk utama negara

KUALA LUMPUR, 20 Ramadan 1442H, Ahad – Malaysia mencatatkan kes pertama kemasukan varian COVID-19 dari India.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, varian itu yang mempunyai mutasi berganda dikenali B.1.617.1, dikenal pasti hasil analisis keseluruhan jujukan genom (WGS), selepas saringan dilakukan di pintu masuk utama negara.
Beliau berkata, kes mutasi berganda yang menyumbang hampir 60 peratus daripada penularan secara besar-besaran di India dikesan menerusi seorang warga republik itu.
“Kita mengesan kes pertama varian India, dengan mutasi berganda dikenali sebagai B.1.617.1 menerusi kemasukan seorang kerakyatan India apabila melakukan saringan di Lapangan Terbang Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya seperti dilapor Berita Harian, hari ini.
Varian mutasi berganda, B.1.617.1 mula ditemui di India pada 27 April lalu dan laporan Inisiatif Global mengenai Perkongsian Semua Data Influenza (GISAID) mendapati ia menular di sekurang-kurangnya 17 negara di seluruh dunia, tiga hari kemudian.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan, mutasi berganda dari India itu mempunyai kadar pertumbuhan virus COVID-19 yang lebih tinggi, berbanding varian sedia ada di republik berkenaan, sekali gus dikhuatiri menjadi punca utama peningkatan jangkitan secara mendadak.
Berdasarkan laporan WGS, membabitkan 59 genom dari Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi tempoh dari 24 April hingga semalam, Dr Adham berkata beberapa penemuan direkodkan.
Katanya, ia termasuk 30 lagi varian membimbangkan (VOC), iaitu 27 varian Afrika Selatan B.1.351 dan tiga varian United Kingdom, UK B.117, malah varian mempunyai kepentingan (VOI), iaitu varian dari India, B.1.617 turut ditemui.
“Malangnya, laporan IMR ini mengesahkan kes pertama VOC B.1.351 di Perak dan Kelantan, membabitkan kewujudan kluster dengan 10 kes positif di setiap negeri terbabit.
“Menerusi aktiviti pengesanan, kita juga merekodkan tambahan tujuh kes varian B.1.351 dan dua varian UK B.1.1.7 di Selangor.
“Satu kes varian UK B.1.1.7 turut direkodkan di Sandakan, Sabah, membabitkan seorang warga asing, malah ini kes pertama varian dari UK dalam kalangan individu tanpa sejarah perjalanan ke luar negara dan berkemungkinan ia penularan tempatan,” katanya.
Setakat ini, Dr Adham berkata, 48 kes varian Afrika Selatan, B.1.351 direkodkan, UK B.1.1.7 (8 kes), India B.1.617 (1 kes) dan varian Nigeria B. 1.525 (2 kes).
Selain itu, katanya, IMR mengesan satu kes nasabah C (C.36) daripada seorang individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Mesir.
“C.36 dominan di Mesir. Kita juga merekodkan peningkatan secara berperingkat terhadap jumlah VOC, khususnya varian Afrika Selatan B.1.351 dalam kalangan sampel jujukan genom yang diterima di IMR.
“Ini menggambarkan wujud potensi pertukaran VOC Afrika Selatan, B.1.351 daripada nasabah tempatan, B.1.524,” katanya.