Berita Utama

Nasib menteri, timbalan menteri UMNO ditentukan petang ini?

Isu tersebut jadi tumpuan mesyuarat PN dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin

BANGI, 20 Ramadan 1442H, Ahad – Nasib mereka berjawatan menteri dan timbalan menteri dari UMNO dipercayai menjadi tumpuan perbincangan dalam mesyuarat Perikatan Nasional (PN) yang dilapor akan diadakan petang ini.

Menurut sumber, mesyuarat juga dijangka membincangkan isu sama ada mereka ingin kekal bersama PN atau meletak jawatan.

“Barisan kepemimpinan PN dijadual mengadakan mesyuarat khas hari ini dipercayai bagi membincangkan isu berhubung masa depan gabungan itu selepas sokongan UMNO tamat Ogos ini.

“Mesyuarat bermula pukul 5 petang di Pejabat PN di Publika itu dijangka dihadiri seramai 17 kepemimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PAS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” kata sumber kepada Utusan Malaysia.

Antara yang dijangka hadir ialah Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan, Datuk Seri Yong Teck Lee, Datuk Dr Dominic Lau dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku Timbalan Presiden PN serta Ketua Pemuda PN, Khairil Nizam Khirudin juga dijangka hadir.

Menurut sumber, mesyuarat itu diadakan secara khusus bagi membincangkan agenda tertentu untuk mendapatkan kata putus daripada kepemimpinan parti.

Antara perkara yang mungkin dibincangkan adalah mengenai tindakan PN sendiri selepas sokongan UMNO tamat pada Ogos supaya kerajaan tidak lumpuh.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button