Berita Utama

Polis tambah SJR bergerak di laluan tikus

Dalam pastikan tiada pihak merentas negeri elak penularan COVID-19

KEPALA BATAS, 20 Ramadan 1442H, Ahad – Polis menambah sekatan jalan raya (SJR) bergerak di empat lokasi laluan tikus yang bersempadan dengan negeri Kedah bagi memastikan orang ramai tidak merentas negeri terutama ketika beberapa daerah di sana dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata empat lokasi itu membabitkan masing-masing dua di Kepala Batas dan Tasek Gelugor, yang merupakan jalan kampung serta batas sawah padi dijadikan orang ramai untuk merentas negeri bagi mengelak dikesan polis.

“Selain SJR bergerak, Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan pasukan kereta peronda polis juga sentiasa membuat rondaan di kawasan yang dikenal pasti sebagai laluan tikus itu bagi memastikan tiada pihak merentas negeri dalam usaha memastikan tiada penularan wabak COVID-19.

“Ketika ini terdapat enam SJR ditempatkan di sempadan negeri di daerah SPU dan saya akan menambah jumlah itu menjelang sambutan Aidilfitri bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan untuk pulang berhari raya, malah pasukan pemantau Ops Covid juga ditambah daripada 20 kepada 40 pasukan dengan kekuatan 350 pegawai dan anggota polis,” katanya kepada pemberita di sini awal pagi ini.

Beliau ditemui selepas mengadakan operasi bersepadu bersama pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri di dua bazar Aidilfitri di daerah SPU serta pemeriksaan di SJR Bertam, di sini.

Sementara itu Noorzainy berkata penganjur bazar Aidilfitri di Midtown Kubang Menerong, Tasek Gelugor di sini dikompaun RM20,000 selepas didapati gagal memastikan pengunjung mengamalkan penjarakan fizikal dalam pemeriksaan yang dijalankan pihaknya.

Katanya polis mengeluarkan kompaun itu selepas pihaknya mendapati penganjur masih gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) biarpun telah diberi amaran dalam pemeriksaan sebelum ini.

Beliau berkata MBSP turut mengeluarkan notis supaya penganjur mengambil langkah penambahbaikkan terutama memastikan tidak berlaku kesesakan dalam bazar Aidilfitri itu dalam kadar segera dan jika gagal berbuat demikian pihaknya akan mengarahkan penutupan bazar tersebut. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button