Berita UtamaDunia

Arab Saudi buka sempadan darat, laut dan udara 17 Mei

Beberapa kategori dibenar lakukan perjalanan termasuk yang telah terima vaksin

RIYADH, 21 Ramadan 1442H, Isnin – Arab Saudi akan menamatkan sekatan perjalanan ke luar negeri dan membuka sempadan darat, laut dan udara pada hari Isnin (17 Mei), kata Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan.

Warga Arab Saudi yang telah menerima dua dos suntikan vaksinasi, atau satu suntikan sekurang-kurangnya dua minggu sebelum perjalanan, mereka yang telah pulih daripada COVID-19 dalam tempoh enam bulan terakhir dan mereka yang berusia di bawah 18 tahun akan dibenarkan melakukan perjalanan.

Sebelum ini, kerajaan pertama kali melarang semua perjalanan masuk dan keluar negara ketika COVID-19 mulai merebak ke seluruh dunia pada Mac 2020.

Sempadannya dibuka semula pada bulan Julai 2020 tetapi rakyat masih tidak dibenarkan melakukan perjalanan.

Pada Januari 2021, pihak berkuasa menangguhkan penamatan sekatan perjalanan untuk orang ramai dan pembukaan semula pintu masuk sepenuhnya ditukar ke 17 Mei.

Pada bulan Februari, pihaknya menangguhkan kemasukan untuk bukan warganegara dari 20 negara kecuali diplomat dan pengamal perubatan.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Menteri Kesihatan Arab Saudi, Dr Tawfiq Al-Rabiah, dalam pidatonya pada sesi dialog Wawasan 2030 berkata, kerajaan telah memberikan hampir 9.5 juta vaksin, menekankan pentingnya kualiti vaksin, bukan kuantiti.

Sementara itu, aplikasi ‘Tawakkalna’, aplikasi rasmi yang dipersetujui oleh Kementerian Kesihatan untuk mengekang penyebaran coronavirus, telah mencecah 20 juta pengguna, lapor Saudi Press Agency (SPA). – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button