Lebih 70 peratus penggunaan katil rawat kes COVID-19 di Kedah
Ordinan Darurat perlu untuk arah hospital swasta bantu kerajaan jika keadaan kritikal

ALOR SETAR, 21 Ramadan 1442H, Isnin – Kedah kini mencecah kapasiti lebih 70 peratus dalam penggunaan katil untuk merawat pesakit COVID-19.
Ini termasuk penggunaan untuk pesakit kes kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman.
“Saya dimaklumkan penggunaan katil sekarang sudah mencapai lebih 70 peratus, sekiranya angka pesakit COVID-19 terus bertambah dan kes sembuh lambat, ia akan menyebabkan penggunaan katil turut bertambah.
“Jadi kita perlu katil simpanan sekurang-kurangnya 30 peratus lagi untuk menampung kes baharu yang tidak dapat kita jangka,” katanya seperti dilapor BHOnline.
Beliau berkata, keadaan itu agak membimbangkan berikutan kes COVID-19 semakin meningkat sejak kebelakangan ini.
Ketika ini, hospital yang mempunyai kelengkapan merawat kes COVID-19 serius adalah di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.
“Pesakit yang didapati berada dalam keadaan kritikal dari daerah lain akan dibawa dan dirawat di dua hospital berkenaan yang mempunyai kemudahan bersesuaian untuk kes COVID-19,” katanya.
Selain HSB dan HSAH, terdapat juga hospital swasta di negeri ini yang mempunyai kelengkapan dan turut memainkan peranan merawat pesakit COVID-19.
“Sebab itu kerajaan perlu melaksana Ordinan Darurat kerana apabila dikuat kuasa, hospital swasta boleh diarah dibuka bagi diguna membantu kerajaan merawat kes COVID-19,” katanya.