Berita Utama

Ahli Muafakat Nasional kini cecah 30,000

Annuar Musa umum penubuhan perhubungan negeri, kawasan

BANGI, 22 Jamadilakhir 1444H, Ahad – Keahlian pertubuhan Muafakat Nasional (MN) kini sudah mencecah 30,000 selepas sebulan ia dibuka kepada orang ramai.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, dengan pencapaian jumlah itu, tiba masanya untuk MN memulakan penubuhan perhubungan negeri dan kawasan.

Beliau berkata, penubuhan perhubungan negeri akan dimulakan di Sabah pada 5 Februari depan.

“Ia kemudian akan disusuli Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan lain,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, empat negeri kini telah mempunyai Pengerusi Perhubungan iaitu Pahang, Sabah, Selangor dan Sarawak.

“Sukacita saya mengumumkan Pengerusi Perhubungan MN Pahang ialah Nasrudin Hassan Tantawi yang juga Ahli Majlis Syura Ulama PAS.

“Pengerusi Perhubungan MN Sabah adalah Jasmit Japong, Datuk Zuraida Kamarudin (Selangor) dan Datuk Justine Jinggot (Sarawak),” katanya.

Dalam pada itu, Annuar menegaskan, MN bakal memainkan peranan menanam nilai serta kefahaman kenegaraan yang berasaskan tiga prinsip, iaitu kasih sayang, perpaduan dan saling menghormati.

12 Disember lalu, Annuar mengesahkan menerima lebih 10,000 permohonan keahlian hanya selepas beberapa jam dibuka.

Sebelum ini, beliau adalah individu penting dalam menubuhkan MN pada 14 September antara UMNO dan PAS atas alasan mahu mengukuhkan semula kesatuan politik bangsa Melayu dan ummah.

Bagaimanapun, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, kedua-dua parti masing-masing membawa haluan sendiri sehinggakan dilihat MN seperti hilang punca.

Situasi berkenaan mendorong Annuar kembali mengaktifkan MN sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selepas dipecat daripada UMNO kerana didakwa lantang mengkritik presiden parti terbabit.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button