Berita UtamaIstimewa

Gerakan mogok ke sekolah buka ruang lahir generasi biadab

Tindakan NWSD bertentangan dengan prinsip Rukun Negara: iGuru

BANGI, 22 Ramadan 1442H, Selasa – Murid-murid tidak sepatutnya diajar untuk ponteng sekolah atau kelas atas alasan yang tidak munasabah.

Atas sebab itu, Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) membantah sekeras-kerasnya tindakan Nationwide School Walkout Day (NWSD) Alliance yang meminta pelajar dan guru membantah budaya rogol dan gangguan seksual dengan tidak hadir ke sekolah selama sehari.

NSWD Alliance adalah gabungan aktivis antaranya Solidariti Pendidikan, Monsters Among Us, Demokrat Kebangsaan dan Rape Watchdog.

“Sebagai bantahan melalui satu peristiwa terbaharu #MakeSchoolASaferPlace, kami menganjurkan #NationalSchoolWalkoutDay (NSWD) untuk menuntut perubahan di sekolah,” kata gabungan aktivis itu.

Presiden iGuru, Ustaz Mohd Azizee Hasan menegaskan, membudayakan gerakan memboikot dari hadir ke sekolah adalah satu bentuk pelanggaran disiplin dan membuka ruang melahirkan generasi biadab serta mencabar kedaulatan undang-undang.

“Tindakan NWSD bertentangan dengan prinsip Rukun Negara iaitu ‘Kesopanan dan Kesusilaan’.

“Murid-murid tidak wajar diajar untuk ponteng sekolah atau kelas atas apapun alasan yang tidak munasabah.

“Persekitaran harmoni antara guru dan murid penting untuk kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, Ustaz Azizee berkata, pihaknya mengecam mana-mana tindakan salah laku gangguan seksual kepada murid-murid susulan insiden yang berlaku kepada Ain Husniza Saiful Nizam dengan gurauan jenaka rogol baru-baru ini.

Katanya, murid-murid perlu mendapat jaminan keselamatan diri ketika berada di sekolah demi memastikan ruang pembelajaran mereka aman dan selamat.

“Justeru, i-Guru menggesa pihak Kementerian Pendidikan (KPM) khususnya Menteri Pendidikan mengambil langkah proaktif dalam menangani isu gangguan seksual kepada murid- murid agar kebimbangan dan kerisauan ini dapat dileraikan khususnya kepada mangsa iaitu murid dan juga ibu bapa.

“Selain itu, bagi mengelakkan tanggapan masyarakat bahawa sekolah tidak selamat untuk sesi pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button