Berita Utama

Muka baharu dalam Kabinet Anwar dipilih ikut kelayakan

Beri peluang 6 bulan jemaah menteri bekerja sebelum nilai

oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 8 Jamadilawal 1444H, Sabtu – Pelantikan beberapa muka baharu dalam Kabinet kerajaan campuran yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuat berdasarkan kelayakan dalam pendidikan, kebolehan dan integriti.

Bahkan, pelantikan itu juga untuk menyeimbangkan penyertaan jemaah menteri wanita sebagai pembuat keputusan, kata Pensyarah kanan di Pengajian Komunikasi dan Media, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Datuk Dr Ismail Sualman,

Justeru, beliau berkata, tidak timbul soal muka-muka baharu berkenaan tidak layak kerana mereka dipilih selepas melalui proses saringan berdasarkan kelayakan masing-masing.

“Walaupun penampilan muka baharu ini sangat mengejutkan ramai pihak kerana tidak mempunyai jawatan sebelum ini, tetapi mereka sebenarnya mempunyai kebolehan dan bersesuaian dengan kehendak.

“Pembabitan mereka hanya untuk koordinasi dan akan dibantu oleh pegawai-pegawai tinggi dalam kerajaan serta ketua setiausaha,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penyertaan lapan muka baharu dalam pembentukan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam tadi.

Antara muka-muka baharu yang dilantik adalah Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan), Dr Zaliha Mustafa (Menteri Kesihatan), Chang Lih Kang (Menteri Sains dan Teknologi), Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) dan Fahmi Fadzil (Menteri Komunikasi Digital).

Mengulas lanjut, Prof Ismail berkata, penyertaan muka baharu dalam Kabinet dijangka membawa pembaharuan selari dengan keadaan semasa.

“Kalau pilih orang lama pasti jadi buah mulut juga jadi dengan pembabitan orang muda pasti memberi pembaharuan dan selari kehendak rakyat,” katanya.

Malah beliau berpandangan, pemilihan muka-muka baharu ini juga merupakan jawapan dan keinginan rakyat yang mahu golongan muda diangkat sebagai pemimpin.

Pada masa sama, beliau yakin Menteri Pendidikan baharu, Fahdlina Sidek mampu menggemudi kementerian yang dianggap sebagai kerusi panas.

Katanya, integriti dan kelayakan pasti akan membawa pembaharuan dalam mengetuai kementerian berkenaan.

Beliau turut menggesa semua pihak supaya memberi peluang dan ruang kepada pimpinan Kabinet baharu itu bekerja dan menilai dalam jangka masa tertentu.

“Kita mungkin boleh memberi peluang dalam tempoh enam bulan mereka bekerja dan selepas itu bar lah kita menilai sama ada pembaharuan atau tiada,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button