Berita Utama

PEMBELA ajak sertai kempen borong jualan penjaja kecil

Belian akan diagihkan kepada golongan miskin, mereka yang memerlukan

AMPANG, 21 Zulkaedah 1442H, Jumaat – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menggerakkan satu kempen bagi memperkasakan ekonomi masyarakat setempat khususnya dengan membela penjaja kecil. 

Dalam satu kenyataan, PEMBELA berkata, ini merupakan antara inisiatif atas semangat kempen yang lebih besar, iaitu agenda Beli Produk Muslim atau ‘Buy Muslim First’ (BMF).

“PEMBELA akan membeli semua atau sebanyak mungkin jualan penjaja-penjaja yang dikenal pasti dan seterusnya mengagihkan sebahagian daripada bahan bantuan kepada asnaf, petugas barisan hadapan dan penerima manfaat yang lain. 

“Oleh itu, kami mengajak masyarakat khususnya umat Islam di Malaysia untuk bersama membelanjakan duit pada penjaja-penjaja sebagai rangsangan kepada umat Islam di peringkat komuniti,” katanya, hari ini.

Dalam perkembangan terbaharu, PEMBELA telah bergerak ke sekitar daerah Ampang, Selangor bagi membantu empat penjaja tepi jalan dengan memborong jualan mereka.

“Kesemua penjaja ini mula berniaga apabila berlaku pandemik COVID-19 yang mengakibatkan ramai terkesan dan terpaksa menyara hidup dengan berniaga secara kecil-kecilan sekadar mencari sesuap nasi. 

“PEMBELA terpanggil untuk bukan hanya membantu melariskan jualan mereka tetapi jualan yang diborong semua akan diagihkan kepada golongan miskin dan mereka yang memerlukan. 

“Semangat dan kekentalan semangat juang mereka ini untuk mencari rezeki adalah sangat membanggakan, dan kami berharap agar kempen ini dapat membantu mereka,” katanya.

Orang ramai yang mahu menyokong kempen ini boleh berbuat demikian dengan melakukan sumbangan ke Tabung Bela Penjaja di pautan bit.ly/belaPenjaja atau menggerakkan kempen ini mengikut kapasiti kendiri di kawasan komuniti masing-masing.

“Semoga seruan kempen ini sedikit sebanyak membantu peniaga-peniaga muslim kita berniaga di kala krisis kewangan yang begitu meruncing ini akhirnya menjadi rangsangan kepada ekonomi negara di mana kelompok peniaga kecil adalah begitu besar. 

“Kami akan sedaya upaya menceritakan pengalaman kami sepanjang menggerakkan kempen ini, khususnya di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor dari semasa ke semasa melalui saluran media sosial yang ada. Nantikan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button