Berita Utama

Tarikh mengundi 12 Ogos munasabah: MB Selangor

Kempen 14 hari cukup untuk semua parti berkempen, bakal calon memperkenalkan diri.

SHAH ALAM, 16 Zulhijjah 1444H, Rabu – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan tarikh pengundian serentak bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang ditetapkan pada 12 Ogos adalah sesuai dan munasabah.

Beliau berkata selain itu, tempoh kempen selama 14 hari bermula 29 Julai juga mencukupi untuk semua parti berkempen dan bakal calon memperkenalkan diri.

“Pada musim dan saat media sosial sudah semakin rancak, saya percaya ia memberikan masa yang sangat luas kepada semua parti untuk menerangkan polisi dan memujuk pengundi.

“Dengan tempoh yang diumumkan juga, semua parti telah ada persediaan untuk berdepan dengan pilihan raya ini dan ia turut dilaksanakan pada Sabtu, iaitu hari cuti untuk semua negeri yang terlibat dengan PRN,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijalankan serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian.

Selain itu, tarikh penamaan calon di keenam-enam negeri berkenaan pula ditetapkan pada 29 Julai, manakala pengundian awal pada 8 Ogos. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button