Berita Utama

Rentas daerah dibenar untuk individu ambil vaksin COVID-19

Hanya tunjuk bukti janji temu di aplikasi MySejahtera

KUALA LUMPUR, 22 Ramadan 1442H, Selasa – Individu yang tinggal di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor dibenarkan melakukan perjalanan rentas daerah untuk mendapatkan vaksinasi COVID-19, kata Khairy Jamaluddin.

“Untuk kawasan PKP, anda akan dibenarkan merentas daerah untuk janji temu vaksinasi anda.

“Cukup tunjukkan bukti janji temu anda di MySejahtera, laman web atau SMS di sempadan daerah.

“Anda tidak memerlukan surat daripada polis,” kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan itu dalam ciapan di laman Twitter, hari ini.

Sebanyak 268,800 slot vaksinasi AstraZeneca di Kuala Lumpur dan Selangor penuh kira-kira tiga jam setengah setelah pendaftaran dibuka pada tengah hari Ahad (2 Mei).

Mereka yang layak mendapat vaksin diminta menempah slot vaksinasi dari 5 Mei hingga 6 Jun di pusat vaksinasi yang terletak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam, Dewan Peperiksaan Universiti Malaya dan Dewan Gemilang di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pada 14 April, Majlis Keselamatan Nasional (MKN) bersetuju untuk melonggarkan sekatan perjalanan bagi mereka yang harus membawa ahli keluarga atau tanggungan mereka untuk janji vaksinasi COVID-19 mereka.

Namun, mereka yang merentas negeri untuk tujuan tersebut perlu menunjukkan surat janji temu vaksinasi kepada pihak berkuasa di sempadan negeri.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button