Berita Utama

PGA7 rampas ketum bernilai RM21,000 di tumpat

Ketum disyaki dibawa dari Kedah untuk pasaran tempatan

KOTA BHARU, 23 Ramadan 1442H, Rabu – Sebuah bengkel kereta yang ditinggalkan di Kampung Bunohan, Tumpat, dekat sini didapati dijadikan sebagai stor simpanan kepada 700 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM21,000.

Pegawai Pemerintah Medan Batalion Ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) Supt Azhari Nusi berkata, rampasan dilakukan selepas sepasukan anggota Kompeni B membuat serbuan ke bengkel itu, kira-kira jam 3.30 petang semalam.

Beliau berkata ketika serbuan, didapati terdapat kelibat dua lelaki telah melarikan diri ke dalam semak di belakang bengkel, selepas dapat menghidu kehadiran pasukan PGA7.

“Pemeriksaan yang dijalankan di dalam bengkel yang dijadikan stor itu, menemui longgokan plastik hitam di dalamnya mengandungi plastik lutsinar diikat gelang getah, mengandungi daun-daun hijau yang disyaki daun ketum.

“Selepas membuat pemeriksaan di kawasan sekitar dan tidak menemui sesiapa di situ, kesemua daun ketum itu dirampas dan dibawa balik ke Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Azhari berkata, kesemua daun ketum yang ditemui disyaki dibawa dari Kedah untuk pasaran di sini.

“Daripada maklumat yang diperolehi, satu ikatan daun ketum sekitar satu kg akan dijual dengan harga RM30.

“Hasil siasatan awal mendapati kesemua daun-daun ketum ini dipercayai untuk pasaran sekitar Tumpat, dan bagi jualan kecil-kecilan terutamanya di sekitar kawasan Kampung Bunohan.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button