Dunia

Tiga agensi PBB gesa pembebasan segera Amal Nakhleh

Desak Israel henti rampas hak kebebasan ke atas kanak-kanak

GENEVA, 18 Jamadilakhir 1443H, Jumaat – Beberapa pertubuhan antarabangsa menggesa pihak berkuasa Israel supaya segera membebaskan remaja Palestin yang dilaporkan tenat dalam tahanan pentadbiran rejim itu.

Gesaan itu dibuat Agensi Kerja dan Bantuan Pelarian Palestin (UNRWA), Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR) dalam satu kenyataan bersama, semalam.

“Amal Nakhleh mahupun peguam dan keluarganya tidak dimaklumkan mengenai sebab penahanan ke atasnya itu. Amal menghidap penyakit autoimun teruk yang memerlukan rawatan dan pemantauan berterusan,” kata agensi PBB itu.

Sehubungan itu, kenyataan berkenaan menggesa pembebasan segera tanpa syarat ke atas Amal, selaras dengan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

Menurut The Convention on the Rights of the Child yang telah ditandatangani Israel menyatakan, penahanan ke atas kanak-kanak adalah pilihan terakhir.

Setiap kanak-kanak yang dilucutkan kebebasannya hendaklah mempunyai hak untuk mendapatkan akses segera kepada bantuan undang-undang atau bantuan lain yang sesuai, serta hak mencabar di mahkamah atau pihak lain yang kompeten, bebas dan tidak berat sebelah.

“Kes Amal adalah antara kes yang berpanjangan di mana seorang kanak-kanak Palestin telah ditahan tanpa pertuduhan atau perbicaraan.

“Ia bukan kes terpencil. Pada masa ini, sekurang-kurangnya tiga lagi rakyat Palestin berada dalam tahanan pentadbiran berumur bawah 18 tahun ketika pertama kali ditahan.

“Kami mengulangi gesaan Setiausaha Agung PBB dalam Laporan mengenai Kanak-Kanak dan Konflik Bersenjata, setiap tahun sejak 2015, yang menggesa Israel untuk menamatkan penahanan pentadbiran ke atas kanak-kanak,” kata kenyataan itu.

Tiga agensi berkenaan berkata, amalan merampas hak kebebasan kanak-kanak mesti dihentikan segera.

Amal Muamar Nakhleh, 17, ‘dikurung’ oleh tentera penjajah Israel selama enam bulan pada 21 Januari 2021.

Penahanannya itu kemudian dilanjutkan selama empat bulan lagi pada Mei tahun lalu, dan sekali lagi pada September 2021 untuk tempoh empat bulan seterusnya.

Remaja itu dilaporkan lahir pramatang dengan diagnosis penyakit autoimun yang teruk iaitu myasthenia gravis.

Keadaan Amal memerlukan rawatan dan pemantauan perubatan yang berterusan, malah beberapa bulan sebelum penahanannya, dia menjalani pembedahan untuk membuang sel kanser. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button