Berita Utama

Bertegas! Pahang kecilkan jumlah pengunjung bazar Ramadan, Aidilfitri

Kerajaan negeri mungkin laksana peraturan lebih ketat bendung wabak: MB

BANGI, 23 Ramadan 1442H, Rabu – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail meminta jumlah pengunjung di bazar Ramadan dan Aidilfitri dikecilkan daripada kapasiti sebelumnya, bagi memastikan kaedah penjarakan sosial dapat dilaksanakan dengan efektif.

Beliau berkata, berdasarkan perkembangan kes jangkitan COVID-19 yang semakin meningkat, kerajaan negeri berkemungkinan terpaksa melaksanakan peraturan yang lebih ketat bagi membendung penularan wabak.

Katanya, ini susulan terdapat peningkatan kes sejak dua minggu lalu di zon merah seperti daerah Bentong, Kuantan, Temerloh dan Raub.

“Pada tarikh 3 Mei 2021, jumlah kes jangkitan adalah sebanyak 354, namun pada 4 Mei 2021 di daerah Kuantan sahaja jumlah kes terkumpul adalah sebanyak 1,470 dengan 143 kes aktif yang datangnya dari 9 kluster berbeza.

“Jumlah saringan yang belum dimuktamadkan adalah sebanyak 647 kes dengan 1,942 orang telah diarahkan untuk dikuarantin di rumah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Tanah Putih Baru bagi mengekang penularan wabak.

Malah, beliau tidak menolak kemungkinan PKP akan dikenakan di mukim Gali dan Tras, Raub kerana kedua-dua kawasan itu menunjukkan peningkatan kes yang ketara.

“Saya memahami pada ketika kita di ambang sambutan Aidilfitri, sudah tentu kita tidak mahu mana-mana perintah sekatan diadakan, namun begitu kita tidak boleh memandang remeh jumlah jangkitan wabak yang secara jelas sedang meningkat dengan drastik.

“Saya menyeru agar anak-anak Pahang sekalian untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa untuk mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Setiap lapisan masyarakat bertanggungjawab untuk melindungi diri sendiri dan komuniti sekitar agar kadar jangkitan ini dapat diturunkan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button