Berita UtamaDunia

75,000 penduduk Palestin hilang tempat tinggal angkara serangan rejim penjajah

227 terkorban sejak serangan berterusan pengganas Israel

GENEVA, 8 Syawal 1442H, Khamis – Sekurang-kurangnya 75,000 rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal akibat serangan rejim pengganas Israel yang berterusan di Gaza.

Jurucakap Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) Jens Laerke berkata, keadaan kekal membimbangkan secara keseluruhan.

“Serangan rejim negara haram terhadap penduduk Palestin di seluruh Tebing Barat, termasuk di Baitulmaqdis Timur meningkat,” katanya.

Beliau berkata, semua pihak harus bersetuju menghentikan serangan kemanusiaan sehingga gencatan senjata dicapai.

“Ia bagi memastikan kakitangan kemanusiaan dan barangan bantuan kecemasan dapat masuk dan keluar dari Gaza dengan selamat,” katanya.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata, kira-kira 227 rakyat Palestin terbunuh termasuk 64 kanak-kanak dan 38 wanita, manakala 1,620 lain cedera dalam serangan rejim pengganas Israel di Semenanjung Gaza sejak 10 Mei lalu.

Rejim pengganas Israel telah menyasarkan serangan ke pusat kesihatan, pejabat media dan kawasan perumahan rakyat Palestin.

Sementara itu, OCHA melaporkan bahawa jumlah korban rakyat Palestin di Tebing Barat pada 19 Mei adalah sebanyak 25 orang termasuk empat kanak-kanak manakala 6,309 lagi cedera.

Selain itu, OCHA merekodkan jumlah kumulatif orang yang kehilangan tempat tinggal sejak 10 Mei adalah seramai 75,000.

Daripada jumlah itu, 47,000 orang mencari perlindungan di 58 Agensi Kerja dan Bantuan Palestin (UNRWA) di seluruh Gaza.

Malah, 28,700 lagi dilaporkan tinggal bersama keluarga angkat. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button