Berita Utama

Ordinan Darurat: 12 kertas siasatan dibuka berhubung berita tak benar COVID-19

Siasatan dilakukan ikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021

KUALA LUMPUR, 23 Ramadan 1442H, Rabu – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka 12 kertas siasatan di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021 berhubung penularan berita tidak benar mengenai COVID-19.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021 membabitkan mereka yang mengadakan, menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedarkan, mengeliling atau menyebarkan apa-apa berita tidak benar sehingga menyebabkan ketakutan atau kebimbangan orang ramai.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata terkini satu kertas siasatan dibuka terhadap kenyataan Facebook yang dikeluarkan seorang lelaki mendakwa pesawat penerbangan MH191 dari New Delhi, India dikatakan membawa masuk penumpang ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau berkata kenyataan itu tidak benar dan boleh menimbulkan kegusaran serta kebimbangan orang ramai berhubung langkah diambil kerajaan dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19.

Selain itu, katanya PDRM turut menjalankan siasatan terhadap seorang lagi lelaki pemilik akaun Facebook mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana membuat hantaran yang mengandungi kenyataan jelik serta mengaibkan kerajaan.

“Kedua-dua hantaran itu dibuat selepas kerajaan mengeluarkan arahan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 28 April lalu yang melaksanakan sekatan sementara penerbangan penumpang keluar dan masuk dari India bagi mencegah kemasukan varian baharu COVID-19 dari negara berkenaan,” kata Huzir dalam satu kenyataan hari ini.

Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) yang diwartakan pada 11 Mac lalu adalah khusus untuk mengekang aktiviti penghasilan dan penularan berita tidak benar yang mempunyai kaitan dengan wabak COVID-19 atau Proklamasi Darurat 2021.

Undang-undang ini sekali gus memberi kuasa kepada PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menangkap tanpa waran mana-mana individu atau pertubuhan perbadanan yang cuba menyiar serta menyebarkan berita tidak benar khususnya di media sosial. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button