Berita Utama

PKP: Polis Selangor tingkat jumlah sekatan jalan raya

Pantau bazar Aidilfitri, pusat beli-belah bagi pasti pematuhan SOP

BANGI, 23 Ramadan 1442H, Rabu – Polis Kontinjen Selangor akan mempertingkatkan jumlah sekatan jalan raya (SJR) di setiap daerah ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, langkah itu bertujuan untuk menyekat sebarang aktiviti rentas negeri atau daerah daripada berlaku terutama menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Selain itu, pemantauan di bazar Aidilfitri, pusat beli-belah dan tempat tumpuan orang ramai akan turut dipertingkatkan bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan mengamalkan disiplin kendiri.

“Marilah kita bersama-sama bersatu hati dalam usaha untuk memutuskan rantaian COVID-19 ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

PKP dan PKPB akan dilaksanakan di Selangor berkuat kuasa 6 Mei sehingga 17 Mei 2021.

Daerah yang terbabit di bawah PKP adalah Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

Bagi kesemua daerah itu, pergerakan rentas negeri dan daerah tidak dibenarkan sama sekali kecuali atas urusan kecemasan.

Sementara, PKPB pula akan dilaksanakan di tiga lagi daerah iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button