Berita UtamaTarbiyah

Seputar isu selawat tafrijiyah, syifa’ dan seumpamanya

Seseorang mudah menghukum jika ilmu semakin rendah

1. SELAWAT adalah tuntutan agama yang sabit secara mutlak yakni tidak tertentu masanya dan bentuknya.

Di dalam selawat terdapat doa dan zikir. Doa dari sudut memohon Allah SWT berselawat kepada Nabi Muhammad ﷺ, zikir pula dari sudut mengingati Allah SWT dengan meminta kepada-Nya.

2. Penetapan kaifiat dan bentuk tertentu terhadap zikir dan selawat, jika ia sabit secara nas Al-Quran dan sunnah, maka ia tidak dipertikai lagi amalannya, bahkan itulah asas sesebuah amalan zikir dan selawat.

3. Sekiranya ia berlaku dengan olahan dan gubahan yang menepati bahasa Arab dan prinsip akidah dan syariah, ia adalah suatu yang diharuskan kerana masih tergolong dalam zikir dan selawat yang mutlak.

Bahkan ia juga boleh digolongkan dalam satu amalan terpuji kerana di sana wujud aspek ‘kesungguhan’ dan ‘kesenian’ dalam berdoa dan berzikir.

4. Sekiranya ada pihak yang mendakwa sesetengah bentuk selawat dan zikir itu bercanggah dengan akidah, maka zikir atau selawat tersebut tidak boleh diamalkan oleh pihak yang berpandangan sedemikian. Ini kerana setiap manusia dihukum berdasarkan kefahamannya.

Namun, sekiranya ada pihak lain yang menganggap ia selamat dari sudut bahasa, akidah serta tidak pula menimbulkan polemik dan fitnah kepada agama, maka bagi pihak itu, ia adalah diharuskan selagimana ia didasari ilmu dan pendalilan yang sah.

5. Saya berpandangan isu selawat tafrijiyah dan selawat syifa’ adalah termasuk dalam isu kaifiyat berdoa dan berselawat, dan ia juga boleh dikira termasuk dalam bab bertawassul dengan batang tubuh Nabi Muhammad ﷺ, yang merupakan perbahasan khilafiyah yang panjang.

6. Memuktamadkan perkara yang khilafiyah adalah sia-sia kerana kewujudan perbezaan pandangan adalah perkara yang tabii dan daruri.

7. Semakin tinggi ilmu seseorang, semakin banyak keuzuran yang dia boleh jumpa untuk orang yang berbeza pandangan dengannya.

Semakin rendah ilmu seseorang, semakin mudah pula dia menghukum dan menetapkan kesalahan orang lain.

Ini kerana seseorang yang berilmu mempunyai banyak bekalan dan sumber untuk memberikan keuzuran kepada orang yang berbeza pandangan, manakala orang yang kurang ilmunya hanya melihat sesuatu perkara pada pandangannya yang kecil semata-mata.

8. Bagi saya sendiri, selawat kepada Nabi ﷺ adalah manifestasi kefahaman kita terhadap ketinggian nilai nubuwwah dan kemuliaan Nabi ﷺ, serta bagaimana besarnya nilaiannya dalam kehidupan kita seharian hatta peranannya dalam kewujudan dan ketertiban alam itu sendiri.

Ia bukan semata-mata satu doa ritual yang rasmi yang memerlukan protokol khusus yang mesti diikuti, bahkan ia lebih kepada satu terjemahan rasa cinta dan tanggungjawab, serta penghargaan yang tiada penghujung terhadap junjungan besar Rasulullah ﷺ.

Jadi mungkin orang yang tidak memahami besarnya peranan nubuwwah sebesar itu, dia tidak mampu memahami maksud orang yang mencipta kaifiyat tertentu dan bentuk tertentu dalam berselawat kepada Rasulullah ﷺ.

Wallahua’lam bissawaab.

Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa
Penolong Setiausaha Majlis Ulama ISMA (MUIS)

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button