Berita Utama

Alasan lepas tanpa bebas Zahid kukuh: AGC

Permohonan dibuat pada mahkamah dan alasan telah pun diterima

KUALA LUMPUR, 20 Safar 1445H, Rabu – Permohonan pihak pendakwaan untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 47 pertuduhan dihadapinya, dibuat berdasarkan alasan dikemukakan dan diterima oleh mahkamah.

Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan memaklumkan, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang membuat keputusan tersebut, menyatakan alasan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan adalah kukuh (cogent).

“Merujuk kepada laporan media bahawa tindakan Peguam Negara untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap Ahmad Zahid sebagai tidak bermoral, jabatan ini ingin menegaskan permohonan untuk melepas tanpa membebaskan dibuat kepada mahkamah, berdasarkan kepada alasan-alasan yang dikemuka dan telah pun diterima oleh mahkamah.

“Semasa membuat keputusan, YA (Yang Arif) Hakim menyatakan bahawa alasan-alasan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan adalah kukuh (cogent),” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi di sini memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar 11 alasan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, untuk menghentikan prosiding kes berkenaan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button