Berita UtamaDunia

Pembunuh George Floyd mahu dibicarakan semula

Dakwa keputusan bertentangan dengan undang-undang

MINNEAPOLIS, 24 Ramadan 1442H, Khamis – Bekas anggota polis, Derek Chauvin yang didapati bersalah membunuh lelaki kulit hitam, George Floyd kini merayu di mahkamah Minneapolis untuk dibicarakan semula.

Peguam Derek, Eric Nelsom berkata, anak guamnya perlu menjalani perbicaraan semula kerana ‘menuntut keadilan; penyalahgunaan budi bicara yang melucutkan defendan daripada perbicaraan yang adil; salah laku pendakwa raya dan juri; kesalahan ketika perbicaraan; dan keputusan yang bertentangan dengan undang-undang.’

“Juri berasa terancam atau ditakutkan, tertekan ketika prosiding, dan/atau gagal mematuhi arahan semasa perbincangan, melanggar hak perlembagaan Derek atas proses dan perbicaraan yang wajar dan adil,” kata Eric.

Pada 20 April, Derek didapati bersalah atas ketiga-tiga tuduhan jenayah yang dihadapinya berhubung pembunuhan George Floyd.

Dia menghadapi hukuman penjara hingga 40 tahun untuk pembunuhan tuduhan kedua, penjara hingga 25 tahun untuk pembunuhan tuduhan ketiga dan penjara hingga 10 tahun untuk tuduhan menyebabkan kematian.

George Floyd, 46, meninggal pada Mei tahun lalu ketika Derek menekan lutut di leher George selama hampir sembilan minit ketika dia ditahan oleh pegawai polis.

Insiden itu, yang dirakam dalam video yang menjadi tular, mencetuskan protes marah selama berbulan-bulan di seluruh Amerika Syarikat dan dunia.

Banyak kes serupa tidak membawa kepada tuduhan bagi pegawai yang terlibat, termasuk kematian Michael Brown, Eric Garner dan Tamir Rice. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button