Berita UtamaIstimewa

Pendidikan seks kini bukan lagi pilihan, tetapi keperluan

I-Medik lancar modul ReproAlert, sesuai buat ibu bapa, guru didik anak

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 21 Syaaban 1442H, Sabtu – Pendidikan seksualiti bukan lagi pilihan tetapi menjadi satu keperluan kepada generasi zaman sekarang.

Tambahan lagi dengan perkembangan semasa anak-anak yang cukup ke hadapan seiring dengan kepesatan teknologi, menyebabkan mereka lebih mudah terdedah kepada perkara-perkara yang tidak bermoral.

Sehubungan itu, Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) mengambil inisiatif melancarkan Modul Pendidikan Seksualiti dan Kesihatan Reproduktif I-Medik, ReproAlert sebagai pelengkap kepada modul lain yang sedia ada di negara ini.

Pakar Pediatrik dan Aktivis I-Medik, Dr Anayasmin Azmi berkata, modul ini memberikan nilai tambah sesuai dengan lokaliti Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Pendidikan seksualiti adalah keperluan sekarang ini. Kita tak boleh dah rasa tak perlu (pendidikan seksualiti) tetapi mesti. Seperti mana kita ajar adab, akhlak pada anak-anak, seperti itu jugalah kita perlu mengajar mereka pendidikan seksualiti ini. 

“Cumanya di Malaysia ini kita ada satu situasi yang unik, masyarakat majmuk, tetapi kita tak boleh lupa agama Persekutuan adalah agama Islam, dan kita ada adab, adat ketimuran adalah asas masyarakat Malaysia. 

“Jadi kita perlukan satu modul yang sesuai dengan lokaliti Malaysia. Tak cukup untuk kita hanya cerita tentang hubungan intim, hanya awareness (kesedaran). ‘No more awareness, we have to move to implementation,” katanya dalam Majlis Pelancaran Modul Pendidikan Seksualiti dan Kesihatan Reproduktif I-Medik, hari ini.


Mengulas lanjut, Dr Anayasmin berkata, modul ReproAlert mesra untuk semua golongan termasuk ibu bapa, pengasuh dan tenaga pengajar di institusi pendidikan.

Beliau berkata, modul ini mengetengahkan maklumat komprehensif sekitar isu seksualiti berdasarkan fakta yang benar termasuk berkaitan kontraseptif dalam konteks kekeluargaan.

“Kita menekankan pendekatan, yang ianya (seks) bukan sekadar untuk suka-suka, tetapi ia datang dengan tanggungjawab. Dan juga bahawa Islam dan sains tak pernah bercanggah. 

“Nilai tambah dari modul ini adalah konsep ‘la taqrabu zina’. Kita menjauhi perkara zina, bukan sahaja melarang zina tetapi dari awal lagi kita telah atasi. 

“Semoga ia dapat melengkapi modul sedia ada di Malaysia Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) dan Modul Cakna Diri Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). 

“Kesimpulannya, kita fokus kepada mencegah berbanding merawat. Memperkasakan mengurus nafsu. Kita perlu sediakan fakta yang sebenar dan kita mahu semua orang cakna dan menyebarluaskan modul ini di seluruh ceruk Malaysia,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button