Berita UtamaDunia

Menteri Kewangan Qatar ditahan didakwa salah guna kuasa, dana awam

Menteri Perdagangan dan Perindustrian Qatar ambil alih tugas Ali Sharif serta-merta

DOHA, 25 Ramadan 1442H, Jumaat – Qatar mengarahkan penahanan Menteri Kewangan, Ali Sharif al-Emadi sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap dakwaan penyalahgunaan dana awam dan kuasa.

Menurut Agensi Berita Qatar (QNA) semalam, Peguam Negara mengarahkan penangkapan itu selepas meneliti dokumen dan laporan mengenai jenayah yang berkaitan dengan sektor awam.

“Setelah meneliti dokumen dan laporan yang dilampirkan, Peguam Negara mengarahkan penangkapan Menteri Kewangan, Ali Sharif al-Emadi untuk menyiasat berhubung laporan jenayah berkaitan dengan pejabat awam,” katanya.

Laporan tersebut terdiri daripada kerosakan dana awam, penyalahgunaan pejabat awam dan salah guna kuasa.

Pendakwa raya meminta siasatan lanjut terhadap jenayah yang dibangkitkan dalam laporan yang disampaikan.

Susulan kes itu, Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani memutuskan untuk melepaskan Ali Sharif dari tanggungjawabnya sebagai Menteri Kewangan, menurut satu kenyataan dari pejabat emir pada hari Khamis.

Sheikh Tamim mengumumkan pelantikan Ali bin Ahmed al-Kuwari – Menteri Perdagangan dan Perindustrian Qatar – untuk memikul tanggungjawab sebagai Menteri Kewangan selain tugas-tugasnya ketika ini.

Keputusan itu berkuat kuasa serta-merta mulai tarikh ia dikeluarkan dan akan disiarkan dalam warta rasmi, kata kenyataan itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button