Berita Utama

2 restoran antara 19 kluster baharu dikesan hari ini

Hasil saringan bersasar ke atas pekerja restoran Bandar Manjalara dapati 8 kes positif

KUALA LUMPUR, 25 Ramadan 1442H, Jumaat – Dua restoran antara kluster baharu COVID-19 yang dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua restoran yang terbabit adalah Kluster Jalan Manjalara Idaman di Kepong selepas hasil saringan bersasar dilaksanakan ke atas pekerja restoran Bandar Manjalara, dengan lapan kes dikesan positif.

Satu lagi adalah Kluster Jalan Besar Pasir Mas yang dilaporkan di Pasir Mas, Kelantan, hasil saringan individu bergejala membabitkan sebuah restoran di Jalan Besar. 

Katanya, sebanyak 29 kes dikesan positif daripada kluster ini.

Dua kluster restoran itu adalah daripada 19 kluster baharu yang dicatatkan di sembilan negeri iaitu Selangor, Johor, Kelantan, Johor, Sabah, Perak, Melaka, Kedah dan Sarawak serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“10 kluster tempat kerja, empat kluster komuniti, tiga kluster keagamaan, dan dua kluster sektor pendidikan termasuk satu kluster institusi pendidikan KPM dicatatkan.

“Kluster Persiaran Perpaduan USJ dilaporkan di Petaling, Klang, Kuala Selangor dan Kuala Langat, Selangor, hasil saringan bersasar sebuah pusat pentadbiran awam di USJ 5, dengan 43 kes dikesan positif.

“Manakala Kluster Jalan Nouvelle yang dilaporkan di Hulu Langat dan Petaling, Selangor adalah hasil saringan bersasar ke atas pekerja kilang di Seri Kembangan, dan 21 kes dikesan positif dalam kluster ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Udang Harimau pula mengesan enam kes positif yang membabitkan pekerja kilang di Medan Niaga Kepong.

Manakala Kluster Blok D Jalan Pending yang dilaporkan di Kuching, Bau, Sibu dan Samarahan, Sarawak selepas 54 kes dikesan positif menerusi saringan ke atas pekerja syarikat perkhidmatan di Jalan Pending.

Katanya, Kluster Jalan Kempas Pagoh mempunyai 77 kes positif hasil saringan bersasar di kilang di Kawasan Perindustrian Pagoh dengan 77 kes dikesan positif.

“Kluster Ladang LSD yang dilaporkan di Kinabatangan dan Sandakan, Sabah, membabitkan pekerja sebuah ladang di Kinabatangan dengan 20 kes dikesan positif, sementara Kluster Jalan Perusahaan Empat yang dilaporkan di Kerian, Larut, Matang dan Selama, Perak membabitkan kilang di Jalan Perusahaan 4.

“Bagi Kluster Jalan Pkak Ayer Keroh yang dilaporkan di Melaka Tengah, Melaka pula membabitkan pusat penginapan di Pusat Komersial Ayer Keroh dengan 10 kes dikesan positif dikesan, manakala Kluster Pulau Ketam di Klang, Petaling dan Sabak Bernam, Selangor yang mempunyai 22 kes positif,” katanya.

Beliau berkata, kluster lain adalah Kluster Penurin di Betong dan Kuching, Sarawak; Kluster Kampung Kochang yang dilaporkan di Pasir Mas, Kelantan; Kluster Dah Lengkuas di Kota Setar, Kedah; Kluster Jalan Limbang di Miri, Sarawak; Kluster Beldin di Pusa, Sarawak; dan Kluster Dah Utama di Kuala Muda, Kedah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button