Dunia

Australia tarik balik larangan warganegara pulang dari India

Sewa 3 penerbangan pulang, utamakan 900 golongan paling rentan

SYDNEY, 25 Ramadan 1442H, Jumaat – Australia akan menarik balik larangan ke atas warganya yang pulang dari India – negara yang paling teruk terjejas pandemik COVID-19 – minggu depan, kata Perdana Menteri, Scott Morrison. 

Morrison mengekalkan keputusannya untuk mengenakan perintah biosekuriti bulan lalu, yang melarang semua perjalanan ke dan dari India – di mana dasar itu dikritik Ahli Parlimen dan diaspora India. 

Katanya, larangan perjalanan secara kontroversi itu disokong dengan hukuman penjara dan denda ke atas mana-mana individu yang melanggar perintah termasuk melakukan penerbangan melalui negara ketiga.

“Ketetapan yang telah kami buat sangat berkesan, dan ia untuk memastikan bahawa langkah ini dapat mencegah gelombang ketiga COVID-19 di Australia,” katanya.

Australia akan menyewa tiga penerbangan pulang antara 15 Mei dan 31 Mei, dengan mengutamakan 900 warganya yang dianggap paling rentan, kata Morrison. 

Kerajaan menganggarkan sekitar 9,000 warganegara Australia dan penduduk tetap berada di India. 

Mereka perlu memastikan ujian saringan COVID-19 adalah negatif, dan melakukan kuarantin di hotel selama 14 hari seperti dikenakan ke atas pelancong. 

Morrison berkata, pihaknya tidak mungkin membenarkan penerbangan komersial dari India dalam tempoh terdekat. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button