Berita Utama

Berebut kerusi? Pemuda UMNO Seremban putus hubungan dengan MCA

BN sifat keputusan pandangan peribadi tak wakili keputusan komponen

BANGI, 25 Ramadan 1442H, Jumaat – Setiap keputusan dan ketetapan terhadap hubungan antara parti hanya akan ditentukan kepimpinan parti dalam Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN).

Justeru, keputusan Pemuda UMNO Bahagian Seremban untuk tidak bekerjasama dengan MCA Seremban dan Negeri Sembilan disifatkan sebagai pandangan peribadi yang tidak mewakili keputusan gabungan itu.

Setiausaha Pemuda BN, Fadzmel Fadzil berkata, Pemuda UMNO sentiasa diingatkan untuk terus mengukuhkan kerjasama dengan parti komponen BN di pelbagai peringkat.

“Semoga BN terus memperkuat kerjasama dan bersatu untuk memastikan kita dapat memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 bersama-sama,” katanya seperti dilapor FMT, hari ini.

Terdahulu, Pemuda UMNO Bahagian Seremban memutuskan semua bentuk kerjasama dengan MCA di negeri itu gara-gara provokasi berterusan parti berasaskan perkauman itu di media berbahasa Cina.

Ketua Pemudanya, Zool Amali Hussein berkata, keputusan itu berkuat kuasa serta-merta bermula pada Khamis lalu.

“Memandangkan provokasi berterusan di dalam akhbar berbahasa Cina maka dengan ini Pergerakan Pemuda UMNO Seremban mengambil ketetapan untuk tidak bekerjasama dan tidak akan mengadakan sebarang program dan majlis bersama dengan MCA Negeri Sembilan dan Seremban.

“Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban memandang serius isu yang dibangkitkan oleh MCA di dalam akhbar Cina dan ini menunjukkan kami pemuda tegas dengan pendirian serta prinsip kami untuk meletakkan calon di Parlimen Seremban,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button