Berita Utama

Isham Jalil dakwa kes turun pangkat Ammar tak sah

Hanya notis, walhal Perlembagaan peruntuk penjawat awam diberi peluang didengar sebelum turun pangkat

BANGI, 16 Syaaban 1445H, Isnin – Isham Jalil mendakwa penurunan pangkat Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), Datuk Ammar Abd Ghapar adalah tidak sah di sisi undang-undang.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, Perkara 135(2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa penjawat awam perlu diberi peluang untuk didengar sebelum dibuang kerja atau diturunkan pangkat.

“…Ia kecuali dalam kes jenayah, pendengaran tidak munasabah untuk dibuat, keselamatan negara, dan penahanan atau pengusiran negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun Isham berkata, beliau dimaklumkan bahawa tidak ada proses pendengaran dibuat ke atas Ammar sebelum Ketua Pengarah Tourism Malaysia itu diturun pangkat oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing.

“Datuk Ammar hanya diberi notis beberapa hari untuk mengosongkan jawatan.

“Oleh itu penurunan pangkat Ketua Pengarah Pelancongan oleh Menteri Pelancongan adalah tidak sah di sisi undang-undang apabila menteri tidak beri peluang kepada Ketua Pengarah haknya untuk didengar mengikut proses sepatutnya (due process).

“Ia seperti termaktub dalam Perlembagaan sebelum beliau diturunkan pangkat,” katanya.

Memetik peruntukan itu juga, Isham menegaskan bahawa menteri tidak boleh memecat atau menurunkan pangkat seseorang penjawat awam sesuka hati.

Katanya, Ammar adalah seorang penjawat awam dalam perkhidmatan tertutup (close service) dalam agensi kerajaan di bawah menteri.

Sehubungan itu, pemecatan atau penurunan pangkatnya tertakluk di bawah peruntukan Perlembagaan ini.

“Menteri kata kononnya Ketua Pengarah tidak ‘perform’. Namun alasan tidak ‘perform’ ini adalah subjektif dan ia tidaklah termasuk dalam pengecualian hak untuk didengar dalam proses pemecatan atau penurunan pangkat penjawat awam,” katanya.

Terdahulu, King Sing menafikan memecat Ammar sebaliknya pegawai itu diturunkan pangkat kepada Timbalan Ketua Pengarah.

Menurutnya, tindakan itu dibuat kerana kemerosotan prestasi Ammar, yang disifatkan sebagai tidak memuaskan dan tidak mencapai standard ditetapkan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button