Berita UtamaIstimewa

Kes Adib bukti KDN gagal bela nasib rakyat!

Masih tak nampak keseriusan pihak berkuasa bawa penjenayah ke muka pengadilan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 25 Ramadan 1442H, Jumaat – Sehingga ke hari ini, masih belum kelihatan kesungguhan pihak berkuasa untuk mengheret penjenayah yang menyebabkan kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim ke muka pengadilan.

Ketiadaan perkembangan positif mengenai kes ini membuktikan kegagalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak berkuasa membela nasib rakyat biasa serta memberi keadilan kepada keluarga Allahyarham.

Timbalan Presiden gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Dr Ahmad Kamsani Samingan menegaskan, kes yang berlarutan ini perlu diselesaikan dengan kadar segera.

Bahkan katanya, sebarang kecuaian yang menyebabkan kes ini tergendala juga wajar diambil tindakan tegas.

“Tiada sebarang perkembangan mengenai pembunuhan arwah Adib sejak pengumuman Menteri Dalam Negeri untuk melaksanakan siasatan menyeluruh tiga bulan yang lalu.

“Rakyat keseluruhannya ternanti-nanti apakah kesudahan isu ini.

“Masih tidak nampak keseriusan pihak berkuasa untuk membawa penjenayah yang terlibat ke muka pengadilan seterusnya memberi keadilan kepada keluarga arwah Adib,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa nyawa seorang manusia adalah mulia di sisi Islam.

“Lebih-lebih lagi nyawa seorang Islam yang juga merupakan seorang penjawat awam,” katanya.

Terdahulu, empat lelaki yang dipercayai terbabit dalam insiden kematian Muhammad Adib – yang parah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya -dibebaskan daripada tahanan reman, tiga tahun lalu.

Majistret Nurshahirah Abd Salim membenarkan dua suspek dibebaskan dengan bon mahkamah sebanyak RM2,000 manakala dua lagi dibebaskan dengan jaminan polis.

Kesemua mereka yang berusia antara 21 hingga 24 tahun sebelum ini telah direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Allahyarham Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Allahyarham Muhammad Adib, adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button