Berita Utama

Mahkamah benar permohonan Hadi Awang batal saman berhubung kenyataan menghasut

Saman difail 2 rakyat Sabah dalam kenyataan didakwa menghasut penganut Kristian

KUALA LUMPUR, 25 Ramadan 1442H, Jumaat – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini berjaya membatalkan saman pemula yang difailkan dua rakyat Sabah berhubung kenyataan beliau yang didakwa menghasut penganut Kristian dan disiarkan akhbar Harakah, lima tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir dalam penghakimannya membenarkan permohonan Abdul Hadi untuk membatalkan saman yang difailkan oleh Maklin Masiau dan Lawrence Jomiji Kinsil @ Maximilhian selaku plaintif pertama dan kedua dan berkata bahawa saman itu tidak mempunyai locus standi, remeh dan penyalahgunaan proses mahkamah.

“Ketika saya meneliti keseluruhan saman itu, sebenarnya jika ada pihak yang hendak dipersalahkan kerana kecenderungan menghasut adalah plaintif sendiri. Mereka (plaintif) telah membangkitkan semula perkara yang berlaku pada 2016 dan menjadikan ia sebagai isu baharu.

“Oleh demkian, saya membenarkan permohonan defendan (Abdul Hadi) untuk membatalkan saman pemula itu kerana ia remeh dan menyalahgunakan proses mahkamah,” kata hakim.

Hakim juga memerintahkan setiap plaintif membayar kos tindakan RM50,000 kepada defendan.

Menjelaskan mengenai kos tersebut, Hakim Akhtar berkata sebagaimana beliau nyatakan, ini bukannya kes litigasi kepentingan awam, maka pihak terlibat tidak dapat menafikan perkara itu.

“Ini adalah kes remeh yang boleh membebankan sistem keadilan dengan proses litigasi yang tidak perlu.

“(Ungkapan) ‘see you in court’ (jumpa anda di mahkamah) kini telah menjadi ikutan (fesyen). Kita tidak boleh membiarkannya membawa kepada tindakan remeh, maka dengan itu saya akan mengenakan kos sebanyak RM50,000 terhadap setiap plaintif yang akan dibayar kepada defendan,” kata hakim.

Menjelas lanjut, hakim Akhtar berkata dalam kes ini, salinan artikel Harakah juga tidak dikemukakan di mahkamah.

“Mahkamah telah dipandu kepada artikel dalam penerbitan lain yang ditulis semula dan didapati penuh bahaya kerana kita tidak tahu mengenai kandungan asal yang diperkatakan dalam artikel sebenar.

“Penghasilan semula artikel dalam bahasa Inggeris ini tidak jelas untuk menunjukkan bahawa artikel asal dalam akhbar Harakah sama ada ia ditulis dalam bahasa Inggeris atau bahasa lain,” kata hakim.

Seterusnya, hakim menjelaskan bahawa tiada sebarang pernyataan yang didakwa dibuat oleh defendan merujuk kepada plaintif.

“Sebaliknya, ia merujuk kepada mubaligh Kristian. Plaintif tidak mewakilkan diri mereka sebagai mubaligh Kristian dalam saman ini,” katanya.

Hakim juga menegaskan bahawa plaintif juga gagal menunjukkan bahawa saman itu difailkan demi kepentingan awam.

“Sesuatu saman itu tidak secara automatik menjadi kepentingan umum hanya kerana melibatkan tokoh masyarakat. Kata-kata yang kononnya dibuat empat tahun lalu, tidak dapat dibuktikan kenapa dan bagaimana ia boleh menjadi kepentingan umum sekarang, ” katanya.

Plaintif diwakili oleh peguam, R.Kengadharan dan Marcus Lee Min Lun sementara peguam, Yusfarizal Yussoff dan Adam Luqman Amdan mewakili Abdul Hadi.

Plaintif mengemukakan saman itu terhadap Abdul Hadi pada 9 Disember 2020, untuk meminta suatu pengisytiharan bahawa defendan tidak layak untuk memegang sebarang jawatan dalam kerajaan, termasuk jawatan yang setara dengan jawatan menteri, susulan kenyataan berbaur hasutan beliau terhadap penganut Kristian dan Mubaligh Kristian di Harakah, pada 18 Januari 2016. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button