Berita Utama

N.Sembilan benar solat Aidilfitri ikut kapasiti masjid

Bagi surau perlu buat permohonan di pejabat agama daerah masing-masing bagi tujuan itu

SEREMBAN, 25 Ramadan 1442H, Jumaat – Negeri Sembilan membenarkan pelaksanaan solat sunat Aidilfitri di semua masjid dan surau di negeri itu dengan kehadiran jemaah mengikut kapasiti ruang solat serta pematuhan penjarakan fizikal.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata bagaimanapun surau perlu membuat permohonan di pejabat agama daerah masing-masing bagi tujuan itu.

“Takbir raya juga dibenarkan, terhad kepada jumlah jemaah mengikut kapasiti ruang solat namun amalan takbir rumah ke rumah tidak dibenarkan sama sekali. Jamuan hari raya dan sebarang jamuan selepas Aidilfitri di semua masjid dan surau juga tidak dibenarkan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Peralatan dan Sumbangan Program Jalinan Mesra Majlis Bandaraya Seremban dan Puspanita Negeri Sembilan Bersama PDK Bandar Seremban, di sini hari ini.

Aminuddin berkata aktiviti menziarahi kubur hanya dibenarkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dengan kehadiran empat orang dalam satu kumpulan bagi satu kubur selama 30 minit.

“Daerah Seremban berstatus PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) maka tidak dibenarkan aktiviti menziarah kubur. Jadi saya minta orang ramai mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Beliau turut menegaskan masjid atau surau yang gagal mematuhi SOP akan ditutup selama seminggu, serta menasihati mereka yang tidak sihat atau mempunyai gejala COVID-19 agar tidak ke masjid dan surau. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button