Berita Utama

Pemerintah akan datang ulangi masalah sama jika dibarisi pimpinan lama

Banyak idea-idea besar akan luput jika silap dalam pencaturan

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 25 Ramadan 1442H, Jumaat – Masa depan negara kini menjadi semakin kabur dengan kepimpinan lama yang terpalit pelbagai skandal, masalah rasuah dan kes mahkamah yang tiada penghujungnya.

Lebih dikesalkan lagi, ada di kalangan mereka yang masih berkuasa dan memimpin parti-parti politik utama dalam negara.

Tambahan pula kini, satu persatu isu baharu timbul seolah-olah telah sebati dalam perjuangan mereka seperti sikap prejudis, saling jatuh-menjatuhkan, membuka aib, dendam dan sikap berkepentingan.

Ketua Pemuda BERJASA Pusat, Ustaz Fahmi Bazlan berkata, jika situasi ini berterusan, kepimpinan yang membarisi pemerintahan negara akan datang pasti mengulangi kepincangan yang sama.

Bahkan, katanya, mereka akan terus menerus memperjudikan nasib agama dan bangsa. 

“Nasib anak cucu kita akan terus terpinggir dan merempat di bumi sendiri. Bayangan generasi kepimpinan baru yang matang dan berprinsip bertukar menjadi cita-cita yang mustahil.

“Sedangkan inilah sunnah agung Rasulullah ﷺ dalam membangun masyarakat Islam yang memimpin melalui suri tauladan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau memetik hadis Nabi ﷺ yang bermaksud ‘Setiap dari kalangan kita adalah pemimpin, dan kita akan dipersoalkan dan dipertanggungjawabkan dengan apa yang kita pimpin.’

Ustaz Fahmi menegaskan, sepatutnya hadis ini menjadi igauan dan ratib ahli-ahli politik berkepentingan yang berhasrat untuk memimpin negara selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) supaya mereka ‘mengukur baju di badan sendiri’.

“Dengan timbunan masalah, tutup lubang gali lubang, mana mungkin mereka boleh fokus kepada agenda-agenda besar membangun ekonomi, membina negara bangsa, mencipta kuasa nasional.

“… dan banyak idea-idea besar yang akan luput ditelan zaman akibat kesilapan kita dalam pencaturan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan ahli-ahli politik berkepentingan, pimpinan kluster mahkamah, Yang Berhormat samseng, kartel, kongsi gelap dan sebagainya agar berundur dengan hormat.

“Pimpinan lama ini harus bersikap terbuka dan berlapang dada dalam memberikan sumbangan idea dan calon-calon ahli politik muka baru yang akan membarisi kepimpinan negara pada PRU15 akan datang.

“Semoga Malaysia menjadi negara unggul di mata dunia, Insya-Allah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button