Berita Utama

PKP: Solat Aidilftri masih dibenarkan di masjid, surau KL

Ziarah kubur, jamuan selepas solat Aidilfitri hanya dibenar di Putrajaya, Labuan

BANGI, 25 Ramadan 1442H, Jumaat – Solat Jumaat, solat fardu, solat sunat tarawih dan solat sunat Aidilfitri masih dibenarkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mengikut kapasiti masjid atau surau dengan penjarakan 1.5 meter.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menetapkan ketetapan itu untuk masjid serta surau di Kuala Lumpur, yang tertakluk di bawah pelaksanaan PKP bermula hari ini hingga 20 Mei.

Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, pelaksanaan aktiviti Qiamullail juga dibenarkan untuk jumlah 100 orang sahaja, mulai jam 5 pagi dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.

Selain itu, pihaknya turut membenarkan tadarus al-Quran dan majlis khatam secara bersemuka dengan kapasiti separuh dewan solat utama serta penjarakan fizikal 1.5 meter.

“Takbir hari raya pada malam 1 Syawal dibenarkan dengan peserta tidak melebihi 20 orang dalam kalangan ahli jawatankuasa atau pegawai masjid sahaja sehingga jam 10 malam.

“Kuliah, tazkirah secara bersemuka dibenarkan dengan kapasiti separuh dewan solat utama dengan penjarakan fizikal 1.5 meter,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, jamuan selepas solat sunat Aidilfitri, majlis jamuan hari raya dan aktiviti ziarah kubur tidak dibenarkan.

Sementara bagi ketetapan di Putrajaya dan Labuan yang tertakluk di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semua kebenaran membabitkan aktiviti masjid masih sama dengan kawasan PKP.

Namun, dua kawasan berkenaan membenarkan jamuan selepas solat sunat Aidilfitri secara berbungkus.

“Aktiviti ziarah kubur dibenarkan dengan tidak melebihi enam orang bagi satu petak kubur dan tidak melebihi 30 minit.

“Semoga umat Islam khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan terus melipatgandakan amalan di penghujung Ramadan serta berdoa kepada Allah SWT agar penularan wabak COVID-19 di negara tercinta segera berakhir,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button