Rakyat dah bosan! KPN perlu tamatkan trend mungkir janji
Integriti agensi penguat kuasa tenat, perlu libat pakar berkaitan

BANGI, 25 Ramadan 1442H, Jumaat – Tidak mahu ‘pisang berbuah dua kali’, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani digesa mengotakan janji beliau sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai Ketua Polis Negara (KPN).
Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Ustaz Masridzi Sat menegaskan, rakyat sudah bosan dengan pelbagai janji yang ditaburkan namun tidak ditunaikan oleh KPN sebelum ini.
“Banyak kes IGP dulu bila mula dapat jawatan, janji macam-macam tapi pertengahan perkhidmatan senyap. Bila dah bersara baru berani berbunyi semula.
“Trend begini mesti ditamatkan. Rakyat dah bosan,” katanya dalam kenyataan di akaun Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, Ustaz Masridzi menegaskan keadaan integriti agensi-agensi penguat kuasa dilihat sudah semakin tenat.
Justeru, beliau berpendapat tidak cukup setakat membuat program ilmu secara dalaman sahaja, sebaliknya perlu melibatkan alim ulama, para pendakwah serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang pakar dan berkaitan untuk turun sama membantu berhubung isu berkenaan.
“Jika tidak rakyat tetap merasakan tiada perubahan. Budaya payung-memayung sesama sendiri tetap akan berlaku,” katanya.
Terdahulu, Acryl Sani menggariskan tiga fokus utama untuk memimpin Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke arah sebuah pasukan yang menjaga keamanan, berintegriti dan berkhidmat untuk masyarakat.
Beliau berkata, tiga fokus berkenaan adalah untuk memperkasakan integriti dalam kalangan warga PDRM, memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatan PDRM dan meneruskan usaha kerajaan mengekalkan kesejahteraan masyarakat.