Berita Utama

Sifatkan sebagai haram lagi merosakkan ISMA mahu negara bebas rasuah

Sikap berdiam diri MP adalah pencabulan terhadap amanah diberikan rakyat

BANGI, 25 Ramadan 1442H, Jumaat – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) ingin Malaysia menjadi sebuah negara yang bebas daripada gejala rasuah, gangsterisme serta sebarang amalan melindungi penjenayah. 

Naib Presidennya, Mohd Noor Azib Asmangi berkata, tidak kira siapa pun yang terlibat sama ada rakyat biasa atau golongan atasan dalam rasuah, ianya adalah dikira haram, salah lagi merosakkan.

Beliau menegaskan demikian susulan pendedahan bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador, baru-baru ini mengenai salah guna kuasa dan rasuah di kalangan ahli politik dalam institusi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Rasuah politik di kalangan ahli politik bukan benda baharu dan tidak perlu disorok lagi, tindakan yang tegas harus diambil tanpa pilih bulu.

“Anggota dalam kerajaan adalah orang yang paling perlu mencegah dan menolak budaya rosak ini. Ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat perlu bersuara tidak kira anda pembangkang atau kerajaan.

“Sikap Ahli-ahli Parlimen yang berdiam diri semata-mata disebabkan mereka ahli dalam kerajaan adalah pencabulan terhadap amanah yang diberikan oleh rakyat. Lebih baik kekal menjadi pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, rakyat juga sudah muak dengan manipulasi orang-orang politik dan berkepentingan terhadap institusi bebas negara seperti PDRM, mahkamah dan lain-lain. 

“Jadi, perkara ini perlu dibanteras hingga ke akar umbi. 

“Di masa akan datang juga, ISMA berharap agar rakyat mula kenal siapa yang amanah untuk dilantik menjadi pemimpin pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Dalam kesempatan itu, ISMA ingin mengucapkan tahniah atas perlantikan KPN yang baharu Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani. 

“Semoga mampu mengangkat martabat PDRM ke arah yang lebih baik, bertanggungjawab dan berprinsip,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button