Berita Utama

Sistem pendidikan carca merba, wujudkan jawatankuasa kaji polisi terbaik: UMNO

Tak banyak usaha selain mansuh UPSR, buka dan tutup sekolah

BANGI, 25 Ramadan 1442H, Jumaat – UMNO mencadangkan Menteri Pendidikan mewujudkan jawatankuasa khas untuk mengkaji pendekatan dan polisi terbaik pendidikan negara ketika era pandemik.

Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jawatankuasa itu mesti meneliti keperluan dan jalan keluar yang praktikal serta radikal, bukan sekadar membincangkan sama ada membuka atau menutup sekolah mengikut kes harian COVID-19.

Ini kerana, beliau menyifatkan sekolah di negara ini dalam keadaan carca merba, kerana tidak banyak usaha terhadap sistem pendidikan melainkan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) serta pembukaan atau penutupan sekolah.

Atas sebab itu, beliau berkata, ibu bapa menjadi bingung, guru pula runsing dan murid-murid tidak faham dengan sistem persekolahan yang ada, selain berisiko menjadi generasi yang ketinggalan.

Justeru, melalui cadangan itu, beliau berkata, kerajaan perlu menyemak dan membangunkan pendekatan terbaik untuk diguna pakai oleh sistem persekolahan supaya pembelajaran tidak terbantut meskipun ketika pandemik.

“Sasaran pendekatan atau perubahan polisi yang diusulkan mesti menjangkau jauh sehingga lima tahun ke depan. Bukannya mengeluarkan saranan untuk dua bulan akan datang.

“Malah, inilah masa terbaik untuk menyelaras dan menyusun semula peruntukan pendidikan kita, agar perbelanjaan terbesar negara ini benar-benar dimanfaatkan dengan cara yang menampakkan hasil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut menyarankan supaya pembabitan semua pihak dioptimumkan dalam mewujudkan ekosistem pendidikan era pandemik yang anjal dan berkesan.

“Isu pendidikan adalah isu nasional yang merentas ideologi, bangsa dan kasta sosial. Sudah tiba masanya untuk menteri kanan menyantuni pihak-pihak lain seperti PIBG, pemain industri, penyedia teknologi pendidikan, penyedia tuisyen swasta, NGO, persatuan penduduk setempat dan gerakan sukarelawan.

“Semua pihak mempunyai tanggungjawab dan tugas untuk sama-sama menyumbang. Pedagogi dan sistem penilaian yang digunakan mesti berubah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button