Berita Utama

Varian Afrika Selatan: Rakyat Perak dinasihat perkasa amalan norma baharu

Virus COVID-19 varian berkenaan dilapor mudah untuk berjangkit

IPOH, 25 Ramadan 1442H, Jumaat – Rakyat negeri Perak dinasihatkan agar berwaspada dan terus memperkasa amalan norma baharu susulan penemuan virus COVID-19 varian Afrika Selatan (B.1.351) yang dilaporkan di negeri itu kerana ia sangat mudah berjangkit.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Perak (Kesihatan Awam) Dr Ummi Kalthom Shamsudin ketika dihubungi Bernama berkata varian itu dikesan di Perak selepas sampel terpilih daripada kes-kes positif dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk penjenisan gen lengkap beberapa minggu lepas.

“Menteri Kesihatan telah mengumumkan penemuan varian ini di Perak dan Kelantan. Semua warga Perak perlu berwaspada dan bukan hanya daerah tertentu sahaja kerana ia sangat mudah berjangkit,” katanya tanpa mendedahkan butiran mengenai varian itu.

Jabatan Kesihatan Negeri Perak dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook rasminya memaklumkan virus itu sangat mudah menjangkiti individu dan orang ramai dinasihatkan memakai pelitup muka dengan betul serta menjaga penjarakan fizikal bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan.

“Elakkan berada di kawasan sesak atau sempit, amalkan kerap mencuci tangan dan elakkan bersentuhan. Adalah dinasihatkan juga kepada semua untuk tidak menghadiri atau mengadakan sebarang majlis sosial bagi mengelakkan jangkitan berlaku,” menurut kenyataan itu.

Sebanyak 137 kes baharu dilaporkan di Perak semalam melibatkan 120 jangkitan tempatan manakala 17 lagi kes jangkitan dari luar Perak. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button