Dunia

178 cedera, Israel serang al-Aqsa ketika jemaah solat tarawih

Rejim guna peluru getah, bom gas ganggu solat sunat tarawih

BAITULMAQDIS, 26 Ramadan 1442H, Sabtu – Jumlah rakyat Palestin yang cedera dalam serangan rejim pengganas Israel di pintu gerbang Damsyik di Masjid al-Aqsa meningkat kepada 178 orang. 

Bulan Sabit Merah Palestin dalam satu kenyataan memaklumkan, daripada jumlah itu, 88 orang dihantar ke hospital di Baitulmaqdis, sementara bakinya dirawat sebagai pesakit luar. 

Sebahagian besar kecederaan adalah disebabkan oleh peluru getah yang ditembak oleh polis Israel. 

Bulan Sabit Merah Palestin mendirikan sebuah hospital lapangan di wilayah itu kerana kepadatan penduduk. 

Dalam kejadian lewat semalam, polis Israel berusaha menyuraikan jemaah di dalam kawasan Masjid al-Aqsa dengan menggunakan bom tangan dan bom gas. 

Polis menyerang jemaah Palestin di masjid ketika mereka melakukan solat sunat tarawih – menjelang beberapa hari sebelum berakhirnya Ramadan. 

Masjid Al-Aqsa adalah tempat suci ketiga di dunia untuk umat Islam, yang turut dituntut orang Yahudi kerana mendakwa kawasan itu sebagai ‘Temple Mount’ – lokasi dua kuil pada zaman dahulu. 

Israel menjajah Timur Baitulmaqdis ketika perang Arab-Israel 1967. Rejim merampas seluruh bandar itu pada tahun 1980 dalam gerakan yang tidak diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button