Berita Utama

Aliran trafik menuju pantai timur sesak

Jumlah kenderaan meningkat seawal jam 8 pagi tadi

KUALA LUMPUR, 26 Ramadan 1442H, Sabtu – Biarpun ibu negara kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), aliran trafik menuju ke pantai timur dilaporkan sesak sejak awal pagi ini.

Jurucakap Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) ketika dihubungi Bernama berkata, jumlah kenderaan meningkat seawal jam 8 pagi tadi menyebabkan kesesakan terutama di kawasan sebelum Plaza Tol Bentong.

Menurutnya selain pertambahan pengguna jalan raya, kesesakan dipercayai berlaku susulan pemeriksaan ketat dilakukan polis di sekatan jalan raya di Plaza Tol Bentong.

LLM di laman Facebook turut memuat naik gambar menunjukkan kenderaan yang beratur dalam kesesakan lalu lintas di sepanjang jalan berkenaan sejak awal pagi tadi.

Sementara itu Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat mengesahkan kepada Bernama berlaku peningkatan pergerakan kenderaan memasuki negeri berkenaan sejak semalam membabitkan tiga laluan pintu masuk iaitu Gua Musang, Pasir Puteh dan Jeli.

Menurutnya, sebanyak 75 kenderaan turut diarahkan berpatah balik susulan tidak mempunyai surat kebenaran merentas negeri sepanjang pelaksanaan sekatan jalan raya di laluan masuk negeri berkenaan semalam.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, pihaknya akan menambah lima lagi sekatan jalan raya di negeri berkenaan yang berada di bawah PKP sejak 16 April lepas hingga 17 Mei ini.

“Selain itu, polis juga akan menambah bilangan pasukan penguat kuasa untuk memantau tahap pematuhan rakyat terhadap prosedur operasi standard (SOP) di tempat awam seperti pusat beli belah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Zaiham Mohd Kahar menjelaskan bahawa sekatan jalan raya (SJR) di plaza tol berkenaan dilakukan bagi memastikan pengguna jalan raya yang merentas negeri mempunyai dokumen lengkap dan mematuhi peraturan PKP.

Beliau mengakui pihaknya mengambil masa lebih lama supaya pemeriksaan terperinci dapat dilakukan bagi memastikan maklumat dalam surat kebenaran rentas negeri sepadan maklumat penumpang setiap kenderaan.

Menurutnya, majoriti pengguna jalan raya yang melalui SJR berkenaan merupakan ibu bapa yang mengambil anak di institut pengajian tinggi atau asrama, selain pasangan jarak jauh serta pekerja syarikat yang mempunyai kebenaran beroperasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

“Sejak pagi tadi, belum ada kompaun dikeluarkan dan semua pemandu dapat mengemukakan dokumen yang sah,” katanya.

Dalam pada itu, LLM berkata, aliran trafik di semua laluan ke arah selatan dan utara tanah air dilaporkan berjalan lancar. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button