Berita Utama

666,495 individu terima dua dos vaksin setakat semalam

Selangor antara negeri tertinggi terima suntikan diikuti Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 26 Ramadan 1442H, Sabtu – Sebanyak 666,495 individu telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan setakat semalam, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba. 

Beliau menerusi akaun Twitternya hari ini berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada 1,060,773 individu yang telah menerima dos pertama, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini sebanyak 1,727,268 dos setakat semalam. 

Menurut infografik dikongsikan beliau, lima negeri yang menerima suntikan dos pertama tertinggi ialah Selangor dengan 144,372 dos, Kuala Lumpur (106,093), Sarawak (102,265), Perak (93,011) dan Johor (90,195).

Setakat semalam, 40.9 peratus atau 9,924,276 individu telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin dengan Selangor mencatat jumlah pendaftaran tertinggi sebanyak 2,549,809 individu.

Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga bulan ini melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua bermula pada April hingga Ogos pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya, manakala fasa ketiga yang dijadual pada Mei hingga Februari 2022, melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button