Berita Utama

AkuPN program cari kerja khusus untuk anak muda

Tiga aplikasi tingkat kemahiran, mula langkah dalam bidang keusahawanan

BANGI, 26 Ramadan 1442H, Sabtu – Bagi memperkasa golongan belia, Pemuda Perikatan Nasional (PN) melancarkan Platform Akar Umbi Pemacu Negara (AkuPN) melalui tiga aplikasi iaitu Cari Kerja, Skil dan Sapot.

Aplikasi Cari Kerja adalah usaha memudah cara hubungan di antara industri dan lapangan pekerjaan dengan rakyat yang mendambakan pekerjaan.

Ketua Pemuda PN, Khairil Nizam Khirudin menjelaskan, usaha ini dimudahcara melalui ikhtiar penciptaan resume disusuli dengan kerjasama bersama MYFutureJobs yang menyediakan ratusan ribu penempatan pekerjaan.

“Skil adalah usaha memudah cara hubungan di antara pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang menyediakan ruang pemberdayaan dengan setiap warganegara yang berpotensi digilap kemahiran mereka.

“Pemuda PN akan terus berganding bahu dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang komited untuk bersama memperkasa potensi anak bangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, Sapot adalah usaha memudah cara usahawan baru dan peniaga kecil yang ingin memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka.

Ia bagi mendapatkan bantuan kewangan sama ada daripada kerajaan mahupun pembangunan komuniti ekonomi yang diyakini akan saling membantu di antara satu sama lain.

“Sesungguhnya, Sapot adalah identiti dan jati diri rakyat Malaysia yang teguh dengan semangat kekitaan untuk membantu setiap warga yang memerlukan.

“Maka, Pemuda PN ingin mengajak seluruh rakyat khususnya anak muda Malaysia untuk bersama menyertai dan mendaftarkan diri sebagai komuniti AkuPN.

“Yakinlah bahawa setiap di antara kita mempunyai peranan dan tanggungjawab yang signifikan demi masa depan kita semua” katanya.

AkuPN tercetus susulan statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pada 6 Mei 2021 mendapati, lebih 700,000 kekosongan jawatan sehingga mendorong kerajaan menyediakan program latihan kemahiran melalui Belanjawan 2021 dan Pakej Rangsangan Ekonomi.

AkuPN boleh dilayari di https://akupn.my/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button