Berita Utama

Buat PKP seperti fasa pertama, tutup semua sektor baru kes turun

Mungkin sektor peruncitan atau tak babitkan orang ramai saja beroperasi

BANGI, 26 Ramadan 1442H, Sabtu – Sudah tiba masanya kerajaan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti fasa pertama, ekoran peningkatan kes harian COVID-19 yang kini mencecah angka lebih 4,000.

Selain itu, PKP menyeluruh perlu dibuat dalam dua fasa iaitu dua minggu bagi fasa memutuskan rantaian COVID-19 dan dua minggu lagi untuk fasa pemulihan berperingkat.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat), Cikgu Izzat Johari mengesyorkan untuk tempoh dua minggu bagi fasa pertama, semua sektor dan bidang ditutup secara total bahkan tiada pergerakan atau kebenaran bergerak.

Menerusi satu kenyataan, beliau yakin tindakan itu sekali gus dapat memutuskan rantaian COVID-19 dan sekurang-kurangnya 80 hingga 90 peratus kes menurun kembali.

“Mengambil kira faktor ekonomi, hanya sektor utama seperti peruncitan dan sektor yang tidak melibatkan orang ramai sahaja dibenarkan beroperasi secara berperingkat dalam fasa kedua dan seterusnya.

“Jika Kerajaan Malaysia berterusan sekadar mengumumkan jumlah jangkitan menaik setiap hari seperti yang diumumkan oleh Ketua Pengarah KKM, dijangka jumlah jangkitan akan meningkat melepasi 5,000 orang hujung bulan Mei, Kerajaan Malaysia akan dianggap lambat mengambil tindakan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Naib Presiden PEMBELA itu turut menggesa kerajaan mengambil pendekatan mencegah lebih baik daripada mengubati.

“Amal Sejagat berharap pihak Kerajaan Malaysia tidak sekadar mengambil tindakan penguatkuasaan denda melanggar prosedur operasi standard (SOP) semata-mata kerana bukan satu kaedah pencegahan terbaik,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui sekiranya PKP itu dilaksanakan, rakyat akan berdepan dengan kesempitan hidup.

“Akur dengan kesusahan dan keperitan serta kesempitan hidup rakyat, Kerajaan Malaysia boleh menyalurkan lebih banyak bantuan bersasar sementara PKP:Lockdown dilaksanakan,” sarannya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button