Dunia

Jerman lulus RUU baharu, berisiko larang sektor awam pakai tudung

Bimbang dasar baharu sasar wanita beragama Islam secara tak adil

BERLIN, 26 Ramadan 1442H, Sabtu – Dewan Parlimen Jerman meluluskan peruntukan kontroversi  yang melarang kakitangan awam memakai simbol ideologi atau agama ketika bekerja. 

Persatuan Muslim mengecam sekeras-kerasnya keputusan itu dan menyifatkan undang-undang berkenaan diperkenalkan secara tergesa-gesa oleh kerajaan tanpa berunding dengan masyarakat agama negara. 

“Perubahan perundangan memberikan pihak berkuasa negeri instrumen yang boleh melarang kakitangan awam daripada memakai tudung atau kippa. 

“Secara praktikalnya, ini akan mempengaruhi wanita muslim yang memakai hijab – tanpa mengira kelayakan mereka,” kata Majlis Penyelarasan Muslim di Jerman (KRM) dalam satu kenyataan. 

Undang-undang baru mengenai pakaian dan penampilan membolehkan pihak berkuasa negeri melarang atau menghadkan pemakaian tatu, simbol, perhiasan serta pakaian yang melambangkan agama tanpa mengira kepercayaan, ketika kakitangan awam bertugas. 

Namun, tidak jelas sama ada pihak berkuasa dapat menggunakan undang-undang baru itu untuk melaksanakan larangan umum mengenai pemakaian tudung bagi wanita muslim.

Ketua Majlis Islam yang berpusat di Berlin, Burhan Kesici berkata, RUU itu tidak jelas dan bimbang menyebabkan pelaksanaannya dibuat secara rambang oleh pihak berkuasa sekali gus melanggar hak asasi wanita muslim yang bekerja di sektor awam. 

Pada masa sama, Pesuruhjaya Senat Berlin, Katarina Niewiedzial turut mengkritik undang-undang itu dan menganggap bahawa ia akan menyasarkan wanita muslim secara tidak adil. 

“Undang-undang ini memberikan dasar untuk larangan menyeluruh pemakaian tudung dan memberikan isyarat yang salah,” katanya dalam satu kenyataan.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button