Berita Utama

Pantau ketat halang individu rentas negeri guna pengangkutan awam

Jabatan, agensi bawah KDN diarah tingkatkan bilangan operasi

BANGI, 26 Ramadan 1442H, Sabtu – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan semua jabatan dan agensi penguatkuasaan di bawahnya untuk meningkatkan bilangan operasi pemantauan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Ini susulan kementerian menerima banyak laporan berhubung masalah kekurangan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan kerajaan.

Arahan itu membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen (JIM), Jabatan Penjara, RELA, ESSCOM, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan AKSEM.

KDN berkata, sejak PKP dilaksanakan sehingga kini, seramai 100,980 orang anggota dari pelbagai jabatan dan agensi terbabit dalam penugasan COVID-19.

“Arahan ini juga dikeluarkan bagi memastikan penularan pandemik  COVID-19 dapat dibendung dengan lebih berkesan dan menyeluruh, terutamanya menjelang sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri pada minggu hadapan.

“Selain daripada menambahkan bilangan anggota serta operasi sekatan jalan raya (SJR), pemantauan ketat juga akan dijalankan bagi menghalang individu yang mengambil kesempatan untuk merentas negeri atau daerah menggunakan pengangkutan awam seperti KTM Komuter, LRT, MRT, ERL, KL Monorail atau perkhidmatan e-hailing,” katanya.

Justeru, KDN menggesa semua pihak untuk terus mematuhi SOP yang diputuskan kerajaan dan memberikan kerjasama terhadap segala usaha serta langkah-langkah yang diambil bagi melindungi nyawa rakyat daripada ancaman COVID-19.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button