Berita Utama

Hanya orang penakut, bacul cadang RUU Kerajaan Sepenggal

Jangan hanya fikir cara selamatkan survival politik peribadi

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 4 Rejab 1445H, Selasa – Cadangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi untuk merangka dan meluluskan Rang Undang-Undang Kerajaan Sepenggal ternyata satu tindakan penakut dan bacul.

Presiden UMNO itu seolah tidak mampu berhadapan dengan kehendak rakyat dan ahli Parlimen sendiri yang berkemungkinan menolak keabsahan kerajaan campuran Madani – yang kini penuh dengan perasuah, pembohong dan pemimpin yang mementingkan diri sendiri.

Naib Presiden BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al-Hakim Mohamad berkata, alasan knonnya ingin meniru negara lain langsung tidak munasabah kerana hakikatnya untuk menyelamatkan batang tengkok diri sendiri.

“Sebenarnya banyak lagi sisi baik pemimpin dunia lain dan sistem pentadbiran negara dunia yang sepatutnya dicontohi beliau

“Contohnya banyak pemimpin dunia yang meletakkan jawatan secara terhormat setelah dituduh pecah amanah, walaupun belum sabit bersalah.

“Adakah Zahid berbuat demikian sebelum ini? Kenapa tak tiru orang lain dalam aspek ini?,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Terdahulu, Ahmad Zahid mencadangkan supaya satu RUU bagi mengekalkan sesebuah kerajaan mentadbir negara sehingga ke akhir penggal dibentangkan di Parlimen.

Katanya, melalui undang-undang itu, kerajaan akan dapat memberi tumpuan penuh mentadbir negara, sekali gus mengelak sebarang ganggu gugat politik yang tidak berkesudahan.

Menyifatkan cadangan itu tidak masuk akal, Lukman menegaskan Zahid perlu berhenti mengeluarkan kenyataan merepek untuk mengaburi mata rakyat.

Zahid diingatkan untuk ikhlas dalam memimpin, bukan hanya memikirkan cara untuk menyelamatkan survival politik peribadi.

“Politik Malaysia hanya akan stabil jika para pemimpin yang dilantik rakyat dalam pilihan raya beriman, ikhlas dan berkhidmat secara bersungguh-sungguh untuk rakyat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button