Berita Utama

‘Pusat panggilan’ judi dalam talian diserbu

12 individu termasuk dua lelaki warga China ditahan

KUALA LUMPUR, 26 Ramadan 1442H, Sabtu – Seramai 12 individu termasuk dua lelaki warga China yang dipercayai terbabit dalam sindiket perjudian dalam talian, ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Kerinchi, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Anuar Omar berkata, serbuan dilakukan pihaknya bersama-sama pasukan forensik Bukit Aman dan pakar siasatan perjudian dari Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, kira-kira 10 malam.

Katanya hasil pemeriksaan mendapati, premis berkenaan baru sebulan beroperasi dan dibuka antara jam 9 pagi hingga 3 pagi.

“Semua individu berkenaan merupakan operator yang ditugaskan untuk mencari pelanggan dari negara China, melalui aplikasi QQ, WeChat dan Skype, sebelum mempromosikan perjudian dalam talian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anuar berkata, semua suspek berusia 17 hingga 37 tahun termasuk tiga wanita tempatan, mengaku mendapat pekerjaan menerusi iklan Facebook dengan tawaran gaji sehingga RM3,000 mengikut kepakaran.

Turut dirampas dalam serbuan berkenaan beberapa jenis komputer riba, telefon bimbit dan kad akses ke kediaman berkenaan.

Katanya, 10 suspek tempatan direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, manakala dua lelaki warga China pula direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.1959/63. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button