Berita Utama

PAS bukan rumah tumpangan politik sementara waktu

Tak boleh ditendang seperti bola demi pangkat, harta

BANGI, 26 Syawal 1444H, Rabu – PAS tidak boleh dijadikan rumah tumpangan politik sementara waktu atau laksana bola yang boleh ditendang oleh pihak lain atau untuk berniaga politik dengan janji pangkat, harta dan takhta.

Tegas Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, partinya mengadakan kerjasama dengan pihak lain atas titik persamaan kemanusiaan dan keadilan kepada semua tanpa melanggar sempadan prinsip Islam dan konsep yang menjadi kewajipan PAS. 

“Apabila ada pihak yang melanggar dasar PAS atau memaksa PAS keluar daripada landasan Islam atau melanggar konsep yang wajib seperti kewajipan menegakkan negara Islam atau konsep amar ma‘ruf dan nahi mungkar atau ancaman terhadap Islam dan penganutnya oleh pihak lain, maka PAS tidak teragak-agak membatalkan kerjasama atau keluar daripada pakatan politik tersebut. 

“Sikap PAS pula tidak jumud tanpa perubahan apabila berlakunya perubahan sikap dan keadaannya. Maka, ada parti yang berulang kali berhubung dan memutuskan hubungan dengan PAS,”katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu menegaskan, PAS lebih mengutamakan sikap berkebajikan terhadap semua pihak, termasuk terhadap mereka yang pernah bermusuh atau sedang bermusuh kerana pendekatan tersebut menjadi salah satu cara untuk memperkenalkan Islam kepada pihak lain yang menjadi kebajikan terbaik.

“PAS melaksanakan kewajipannya dengan penuh kesabaran dan tanpa menyimpan dendam, apabila berada dalam kerajaan pusat dan ketika memerintah kerajaan negeri yang dapat disaksikan oleh ramai kalangan.

“Sebaliknya, PAS pula menjadi sasaran pihak lain yang menipu, menyekat dan menentangnya secara terbuka dan bersembunyi. Namun begitu, PAS tidak sekali-kali membalas dendam apabila berkuasa,” katanya.

Sebaliknya, beliau berkata, PAS dihalang daripada berkuasa mengikut prinsip Perlembagaan Persekutuan atau demokrasi dalam keadaan tekanan antarabangsa menghalang kemaraan Islam yang diwarnakan hijau melalui demokrasi yang bersikap ‘double standard’.

“Mereka menganggap seolah-olah pihak Islam itu bodoh tidak mampu memerintah dan mentadbir, walaupun terlalu ramai kalangan ilmuwan menjadi wakil rakyat PAS atau pegawai kerajaan, pensyarah di pusat-pusat pengajian tinggi dan pemimpin masyarakat. 

“Sehinggakan, ada kalangan mereka itu menjadi Ahli Jawatankuasa (AJK) Cawangan PAS, malah ada yang bersama-sama Unit Amal dan kebajikan sahaja kerana mereka terlalu ramai,” katanya.

Tetapi lain pula keadaannya puak di sana, beliau berkata, jika kalangan mereka selain daripada pihak Islam seperti PAS, semuanya layak diberikan kedudukan.

“Walaupun mereka hanya sekadar mempunyai ijazah belian, tidak mempunyai ijazah, pelakon, penipu, penjenayah, banduan, penyangak, penyakau, jahil dan sebagainya. Asalkan mereka itu pandai bergaya dan berlagak dengan pakaian, gerak-geri dan ucapannya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button